Gambar ihsan JBPM Pahang

KUANTAN – Keseronokan beriadah hujung minggu bagi enam sekawan bertukar tragedi apabila salah seorang daripada mereka lemas di tapak perkelahan Pasir Puteri, Kuala Kenai, Sungai Lembing, di sini pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, kejadian membabitkan enam pelajar sebuah institusi pengajian tinggi swasta di sini.

“Siasatan awal mendapati mangsa bersama lima rakan iaitu dua lelaki dan tiga perempuan berlepas daripada kolej pada jam 6 pagi menuju ke Sungai Lembing untuk mendaki Bukit Panorama.

“Pada jam 8.30 pagi setelah selesai pendakian, mereka singgah di tapak perkelahan itu dan mandi di kawasan lubuk yang berkedalaman kira-kira 1.5 meter,” katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata, semasa rakan-rakan mangsa sedang mandi salah, seorang rakan perempuan mangsa telah dihanyutkan air dan hampir lemas, namun cuba diselamatkan seorang lagi rakan perempuannnya.

Malangnya, kedua-dua rakan perempuan mangsa itu telah dihanyutkan air, mendorong mangsa untuk menyelamatkan kedua-dua mereka.

Kedua-dua rakan mangsa itu kemudian berjaya dibawa ke tepi tebing dengan dibantu oleh rakan lelaki mangsa yang lain, bagaimanapun mangsa didapati hilang dan dikhuatiri lemas selepas itu.

Sementara itu, Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Pahang, Zulfadli Zakaria memberitahu, lima anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Indera Mahkota dikejarkan ke lokasi.

“Ketika tiba di lokasi, didapati seorang lelaki melayu dipercayai lemas, manakala seorang wanita mengalami kecederaan dan telah dihantar ke klinik kesihatan berhampiran untuk menerima rawatan,” katanya dalam kenyataan.

Menurutnya, usaha mencari dan menyelamat dilakukan pihak bomba dengan bantuan 10 anggota polis dan empat bomba sekarela di lokasi terbabit.

Mangsa akhirnya ditemukan pihak bomba yang melakukan selaman di lokasi pada jam 12.12 tengah hari kira-kira 25 meter daripada tempat kejadian.

Bagaimanapun, Penolong Pegawai Perubatan Klinik Kesihatan Sg. Lembing mengesahkan mangsa, Muhammad Amirul Fahmie Saiful, 18 yang beralamat di Maran telah meninggal dunia.

Mayatnya kemudian dihantar ke Unit Forensik Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) untuk tindakan selanjutnya.- MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here