15 lelaki termasuk seorang kanak-kanak berusia 12 tahun ditahan dalam Ops Khas Samseng Jalanan yang dijalankan di Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu, Bayan Lepas.

BALIK PULAU- Seorang pempengaruh laman TikTok direman dua hari selepas ditahan dalam Ops Khas Samseng Jalanan di Lebuhraya Tun Dr. Lim Chong Eu, semalam.

Dia yang juga usahawan terkenal itu ditahan ketika sedang melakukan aksi ‘drift’ berbahaya semasa memandu sebuah kereta jenis Mazda di lebuh raya yang sering menjadi tumpuan golongan muda untuk berlumba haram ketika hujung minggu.

Perintah tahanan reman tersebut dikeluarkan oleh Majistret M. Yegeshweriy di Mahkamah Balik Pulau, di sini hari ini.

Selain pempengaruh berusia 20 tahun itu, 14 individu lain turut direman selama dua hari bagi membantu siasatan selepas ditahan dalam operasi penguatkuasaan berkenaan.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintenden Kamarul Rizal Jenal ketika dihubungi mengesahkan penahanan pempengaruh tersebut.

“Dia (pempengaruh) direman selama dua hari iaitu sehingga esok,”kata beliau.

Terdahulu, polis menerusi laman Facebook semalam memaklumkan, 15 lelaki termasuk seorang kanak-kanak berusia 12 tahun ditahan dalam Ops Khas Samseng Jalanan yang dijalankan di Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu, Bayan Lepas.

Kesemua mereka yang berusia antara 12 hingga 25 tahun itu ditahan kerana menunggang motosikal dan memandu kereta secara melulu.

Penahanan dibuat di bawah Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan polis turut menyita 14 buah motosikal serta sebuah kereta yang digunakan mereka untuk siasatan lanjut. -MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here