KUALA LUMPUR – MIC mengucapkan terima kasih dan tahniah kepada kemenangan besar Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dun Mahkota semalam yang menang dengan undian majoriti lebih empat kali ganda berbanding pilihan raya pada 2022.
Presiden MIC, Tan Sri SA Vigneswaran berkata, keputusan luar biasa ini sememangnya sudah dijangka kerana sokongan tidak berbelah bahagi yang ditonjolkan oleh rata-rata pengundi kepada logo ‘dacing’ sejak bermulanya kempen PRK Dun Mahkota ini.
Kata Vigneswaran, dari awal lagi pengundi dalam kalangan masyarakat India yang sebelum ini pernah menjauhkan diri daripada MIC dan BN kini mengalu-alukan kehadiran mereka dalam program kempen.
“Dari awal lagi saya sudah cakap, sokongan dan kesetiaan kepada BN itu tetap utuh malah rata-rata pengundi yang selama ini menyokong kita namun beralih arah seketika kerana pelbagai retorik sebelum-sebelum ini nampak siapa kita, jasa dan peranan BN.
“Saya sendiri yang berada di sesi-sesi ceramah dan menyantuni pengundi setempat khasnya masyarakat India sentiasa didekati oleh penduduk setempat terutamanya pengundi Mahkota bagi melahirkan kegembiraan kerana adanya calon dalam kalangan BN.
“BN sudah memerintah lebih 50 tahun, tidak mungkin jasa dalam membangunkan negara ini dilupakan begitu sahaja.
“Terima kasih kepada semua, khasnya jentera BN dan PH. Terima kasih tidak terhingga buat semua pengundi terutamanya kaum India di negara ini.
“Terima kasih kerana mengalu-alukan kehadiran kita untuk kemenangan besar ini,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.
Dalam pada itu, Vigneswaran yang juga mantan Yang Dipertua Dewan Negara melahirkan rasa yakin dengan komitmen serta amanah bakal dipikul oleh Syed Hussien Syed Abdullah.
Kata Vigneswaran, Syed Hussien bukanlah wajah baharu sebaliknya sudah lama berkhidmat dan pastinya tanggungjawab baharu ini akan dipikul oleh beliau dengan penuh komited.
“Warga Mahkota tidak perlu risau, setiap yang telah diutarakan oleh pimpinan BN pastinya akan direalisasikan kerana kita tidak ada masa untuk berpolitik atau retorik selamanya untuk berkuasa, kepentingan dan kebajikan rakyat sentiasa menjadi fokus utama kita selama ini,” ujarnya.
Pada PRK DUN Mahkota, BN diwakili Syed Hussien Syed Abdullah yang mendapat undian sebanyak 20,648 undi manakala Perikatan Nasional (PN) diwakili Mohamad Haizan Jaafar pula memperoleh 7,347 undi.
PRK ini diadakan susulan kematian penyandangnya, Datuk Sharifah Azizah Syed Zain pada 2 Ogos lalu. -MalaysiaGazette
MIC yakin kempen tarik pengundi India sokong calon BN berjaya