Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abd Kadir.

BANGI – Kementerian Pendidikan Tinggi mengesahkan ketika ini tiada pelajar Malaysia yang direkodkan sedang melanjutkan pelajaran di Lubnan.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abd Kadir berkata, pengesahan itu berdasarkan semakan dalam sistem pengurusan menerusi Pejabat Education Malaysia (EM) di rantau Timur Tengah.

“Sehingga kini, kita tidak mempunyai pelajar yang berdaftar, kita belum mendapat maklumat secara maksudnya (sekiranya ada pelajar) yang belajar itu tidak berdaftar.

“Tapi berdasarkan kepada laporan Education Malaysia (EMS) pelajar-pelajar kita di Lubnan tidak ada, melainkan kalau sekiranya mereka tidak daftar,” katanya kepada pemberita.

Beliau berkata demikian selepas program Jelajah Kampus Madani ‘In Person with Doc Zam: Tips & Tricks for Freshies’ bersempena Minggu Apresiasi Watan (MAW) Sesi 2024/2025 di Dewan Canselor Tun Abdul Razak (DECTAR), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), di sini, hari ini.

Walau bagaimanapun, kata beliau,  KPT sentiasa bekerjasana dengan Kementerian Luar Negeri bagi memantau sekiranya terdapat rakyat atau pelajar Malaysia di Lubnan.

“Langkah-langkah akan terus dibuat oleh kerajaan melalui Wisma Putra bagi memastikan rakyat Malaysia sama ada mereka belajar secara tidak rasmi melalui madrasah atau sistem persekolahan di sana ataupun rakyat Malaysia yang berada di sana dan percaya Wisma Putra mengambil langkah pantas untuk memastikan keselamatan rakyat Malaysia di sana,” jelasnya.

Zambry berkata demikian susulan ketegangan yang semakin meruncing di Lubnan selepas rejim zionis berterusan menyerang negara tersebut.

Baru-baru ini, Malaysia mengecam sekeras-kerasnya serangan udara oleh rejim zionis  di Lubnan yang telah mengakibatkan lebih 500 kematian dan mencederakan lebih 1,600 orang.

Serangan ini telah menyebabkan ribuan orang kehilangan tempat tinggal dan merupakan pelanggaran serius terhadap undang-undang antarabangsa, undang-undang kemanusiaan antarabangsa dan undang-undang hak asasi manusia antarabangsa, kata Kementerian Luar Negeri.

“Tindakan rejim Zionis Israel memperluaskan operasi ketenteraannya ke Lubnan dan pada masa yang sama meneruskan pembunuhan beramai-ramai di Gaza, di hadapan mata masyarakat antarabangsa, sama sekali tidak dapat diterima. Pengabaian secara terang-terangan terhadap nyawa manusia dan norma antarabangsa ini tidak boleh diterima dan tindakan tegas perlu diambil,” tambahnya.

Dalam masa sama, Kementerian Luar menggesa semua rakyat Malaysia di Lubnan supaya membuat persiapan segera untuk meninggalkan negara berkenaan secara sukarela.

Warganegara Malaysia pula diminta menangguhkan semua perjalanan ke Lubnan sehingga keadaan di negara itu  kembali stabil. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here