Antara mahasiswa baharu yang mendaftar di Universiti Teknologi MARA, semalam.

KUALA LUMPUR- Seramai 55,455 pelajar baharu mendaftar di Universiti Teknologi MARA (UiTM) di seluruh negara bagi sesi Oktober 2024.

Jumlah tersebut merangkumi 4,200 pelajar Pra Diploma, 26,991 pelajar Diploma, dan 24,264 pelajar Ijazah Sarjana Muda.

UiTM dalam kenyataannya berkata, di kampus utama Shah Alam sahaja, 4,117 pelajar baharu telah mendaftar untuk memulakan pengajian.

Naib Canselor UiTM, Profesor Datuk Dr. Shahrin Sahib berkata, beliau berharap agar semua pelajar memanfaatkan peluang tersebut untuk mencapai kejayaan akademik dan menyumbang kepada negara.

“Tahniah kerana berjaya melanjutkan pengajian di universiti yang penuh prestij ini.

“UiTM bangga menyambut anda dan berharap anda akan mengharungi cabaran akademik dengan penuh semangat dan dedikasi,” katanya.

Profesor Dr. Shahrin turut meluangkan masa bersama Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar), YBrs. Prof. Dr. Mohd Sazili Shahibi, untuk beramah mesra dengan pelajar- pelajar baharu di UiTM Shah Alam sempena hari pendaftaran tersebut.

Pendaftaran bagi penempatan kolej kediaman di UiTM Shah Alam berlangsung pada 28 dan 29 September ini.

Pelajar yang mendaftar akan ditempatkan di Kolej Kediaman Mawar dan Kolej Kediaman Perindu, dengan kapasiti masing-masing seramai 2,131 dan 1,986 pelajar.

Bagi kampus-kampus lain di Kedah, Terengganu, Kelantan, dan Johor, pendaftaran telah bermula lebih awal pada 27 September lalu.

Minggu Destini Siswa, program orientasi yang diwajibkan kepada semua pelajar baharu, akan diadakan dari 30 September hingga 4 Oktober 2024.

Program ini bertujuan memperkenalkan pelajar kepada kehidupan kampus serta membantu mereka menyesuaikan diri dengan suasana universiti.

Menurut kenyataan itu lagi, keseluruhan proses pendaftaran berjalan dengan lancar dan teratur dengan kerjasama pasukan Polis Bantuan UiTM, Jawatankuasa Perwakilan Kolej (JPK), Majlis Perwakilan Pelajar (MPP), Pemimpin Mahasiwa Minggu Destini Siswa, staf Jabatan Hal Ehwal Pelajar (HEP), serta petugas kesihatan UiTM Shah Alam. -MalaysiaGazette

 

 

 

 

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here