Aksi pelumba pada perlumbaan Le Tour de Langkawi 2024 peringkat kedua (Arau-Butterworth) sejauh 154.5 kilometer di sekitar Kedah. Foto MOHD ADZLAN, 30 SEPTEMBER 2024.

KUALA LUMPUR – Sebanyak 12 jalan di sekitar pusat bandar Kuala Lumpur  akan ditutup bagi memberi laluan kepada kejohanan lumba basikal Petronas Le Tour De Langkawi (LTdL) 2024 yang berlansung pada Khamis ini, 3 Oktober 2024.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdin Mohd Isa berkata, acara peringkat lima itu akan melalui beberapa jalan utama di Kuala Lumpur bermula jam 10 pagi dari persiaran KLCC hingga ke Jalan Ampang arah MRR2.

“Antara jalan terlibat adalah persimpangan Jalan Sultan Ismail ke Jalan Ampang, Jalan P.Ramlee ke Jalan Ampang, Jalan Ampang ke Jalan P. Ramlee, persimpangan Jalan Raja Muda Abdul Aziz ke Jalan Tun Razak.

“Turut terlibat, persimpangan Jalan Yahya Petra ke Jalan Tun Razak, Lebuhraya Akleh ke Jalan Tun Razak, Jalan Tun Razak ke Yap Kwan Seng, persimpangan Jalan AMpang ke Jalan Tun Razak (semua arah ditutup).

“Tidak ketinggalan, Jalan Tun Razak ke Jalan Ampang (dari arah bulatan Kampung Pandan), Jalan Ampang Hilir ke Jalan Ampang, Jalan Desa Pandan ke Jalan Ampang (dari arah Desa Pandan) dan Jalan Jelatek ke Jalan Ampang (dari arah Jelatek),” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah beliau lagi, seramai 174 anggota termasuk 10 pegawai kanan polis daripada Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur (JSPTKL) akan membuat penutupan penuh secara berperingkat di beberapa jalan yang terlibat dan ia akan dibuka secara berperingkat.

“Orang ramai yang mempunyai sebarang pertanyaan ataupun maklumat boleh menghubungi Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau bilik Gerakan JSPTKL di talian 03-2071 999 atau melayari facebook JSPTKL atau mana-mana balai polis berhampiran bagi maklumat lanjut,” jelasnya.

Petronas LtdL 2024 telah bermula sejak semalam melibatkan lapan peringkat dengan jarak keseluruhan 1,227.2 kilometer (KM), turut membabitkan laluan di Pulau Langkawi dan dua bandar di Miri serta Bintulu, Sarawak. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here