KUALA LUMPUR – Saksi-saksi pendakwaan kes penyelewengan dana 1Malaysia Developement Berhad (1MDB) didakwa tidak boleh dipercayai dan meragukan.
Ini kerana mereka didakwa sentiasa memberikan keterangan bercanggah, tidak konsisten serta meragukan sepanjang prosiding kes yang membabitkan Datuk Seri Najib Razak di Mahkamah Tinggi di sini.
Itu antara hujah yang dikemukan peguam bela mewakili bekas Perdana Menteri itu, Wan Azwan Aiman Wan Fakhruddin hari ini pada prosiding hujahan akhir di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah.
Antara saksi yang dimaksudkan itu ialah bekas Pegawai Khas Najib, Datuk Amhari Efendi Nazaruddin; bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 1MDB, Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi dan Mohd Hazem Abdul Rahman.
Bekas peguam 1MDB, Jasmine Loo Ai Swan; bekas Ketua Pegawai Kewangan 1MDB, Azmi Tahir dan pegawai penyiasat, Penguasa Kanan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Nur Aida Arifin.
Wan Azwan berkata, kebanyakan saksi juga memberi kenyataan yang menjurus untuk menyelamatkan diri masing-masing.
Sebagai contoh, katanya Amhari rapat dengan ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau lebih dikenali dengan Jho Low manakala Shahrol Azral yang lebih kepada membuat rumusan dan andaian sendiri berkaitan penglibatan Najib dalam skandal berprofil tinggi itu.
Peguam itu juga menyatakan bahawa Nur Aida yang ketika sesi soal balas menunjukkan penyiasatan SPRM lebih menjurus kepada siasatan terpilih kerana hanya menuding kepada Najib.
“Nur Aida gagal siasat yang lain seperti Shahrol Azral yang berkemungkinan bersalah dalam skandal ini namun tidak disiasat.
“Shahrol Azral lebih banyak menyebut nama Jho Low namun membuat andaian Najib yang memberi arahan tertentu tanpa memberikan bukti jelas.
“Amhari pula ketika beri keterangan asyik salahkan Najib manakala Mohd Hazem pula keterangan tidak konsisten malah kebanyakkan lebih kepada ‘dengar cakap’ sahaja.
“Dakwaan Mohd Hazem, Jho Low ada pengaruh tidak pula disiasat saksi pendakwaan Nur Aida. Aida juga tidak teliti tentang peranan peguam Ai Swan yang juga didakwa orang kanan Jho Low, mungkin boleh jadi mereka dalang tanpa melibatkan Najib,” katanya.
Najib dibicarakan atas empat pertuduhan menggunakan kedudukannya mendapatkan suapan berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah sama.
Pada prosiding sebelah petang, peguam utama pembelaan, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah berkata, Najib banyak bergantung kepada Bank Negara Malaysia (BNM) dan Gabenor BNM ketika itu, Tan Sri Zeti berhubung transaksi-transaksi yang dilakukan.
Kata beliau, bank pusat itu tahu tentang transaksi kontroversi AS$700 juta yang dipindah masuk kepada Good Star Limited.
Prosiding bersambung pagi esok. – MalaysiaGazette