KUALA LUMPUR – Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesan racun berjadual di dalam lima produk kosmetik.
Lima produk tersebut adalah Karisma Aqua Birds Nest; 2 Skin Revolution – PAP – Blemish Control Serum; Skin Revolution -PAP – Blemish Fade Cream; Ufora Daily Treatment 10g dan Dnars Gold Debalen Cream (Night).
KKM berkata, produk berkenaan tidak lagi dibenarkan dijual.
“Susulan daripada itu, notifikasi produk-produk kosmetik terlibat telah dibatalkan oleh Pengarah Perkhidmatan Farmasi, KKM,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.
Sementara itu, KKM mengingatkan penjual dan pengedar supaya menghentikan pengedaran kesemua produk tersebut.
“Penjualan dan pengedaran produk kosmetik ini adalah melanggar Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984.
“Individu yang melakukan kesalahan di bawah Peraturan-Peraturan ini boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM25,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan pertama dan denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan berikutnya.
“Syarikat yang melakukan kesalahan boleh dikenakan denda sehingga RM50,000 untuk kesalahan pertama dan denda sehingga RM100,000 untuk kesalahan berikutnya,” jelasnya.
Selain itu, kementerian tersebut turut mengingatkan orang awam yang sedang menggunakan produk-produk tersebut supaya menghentikan penggunaannya dan mendapatkan nasihat daripada ahli profesional kesihatan jika mengalami sebarang ketidakselesaan atau kesan advers. – MalaysiaGazette