PUTRAJAYA – Dua fokus utama iaitu pembangunan infrastruktur dan program pengantarabangsaan universiti di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) diharap mendapat tumpuan dalam pembentangan Belanjawan 2025, bulan hadapan.
Menterinya, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata, usaha meliputi pembangunan teknologi kecerdasan buatan (AI) yang digerakkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut diberi tumpuan.
“Kita harapkan bajet yang berkaitan dengan soal penambahbaikan dari segi kemudahan-kemudahan di universiti, baik pulih universiti dan juga politeknik dengan peralatan usang yang perlu kita gantikan.
“Kita harap supaya program pengantarabangsaan pendidikan tinggi dapat dilaksakanakan dengan sebaiknya.
“Sudah tentu mengenai pembanguan AI, ia merupakan salah satu perkara penting kerana ia melibatkan perkembangan pendidikan masa kini yang perlu diberi perhatian,” katanya dalam sidang media selepas perhimpunan bulanan Kementerian Pendidikan Tinggi tahun 2024 di Dewan Za’ba, hari ini.
Dalam sidang media sama, KPT ujar Zambry akan menganjurkan satu program meraikan idea dan pendapat para cendekiawan dan ilmuan.
Program pertama seumpamanya itu disasarkan dapat menarik minat para cendikiawan di seluruh dunia untuk bersama-sama menyumbang idea kepada festival ini.
“Program ini bagi kita meriakan pendapat dan idea, kalau sebelum ini kita ada program seperti MAHA (Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan) untuk rakyat melihat produk pertanian, hampir 5 juta rakyat berkunjung ke MAHA2024.
“Tapi lebih mencabar bagi kita ialah bagaimana nak menganjurkan program ini diperingkat KPT, program khusus setiap tahun akan dianjurkan dan menjadi program daripada KPT,” katanya.
Festival ini jelas Zambry akan menggabungkan keseluruhan sektor pendidikan tinggi dan merakyatkan progran anjuran kementerian berkenaan.
Malah katanya ia bagi mencerminkan hasil cetusan KPT menerusi pelajar-pelajar mahupun tenaga pengajar di universiti-universiti kelolaan KPT.
Jelas Zambry lagi, festival itu akan diadakan pada minggu keempat November depan.
“Ia akan dipenuhi dengan program-program dan dimandikan dengan cahaya idea.
“Untuk melaksanakan kita mahu semua pihak agar menjayakan program ini kerana ini adalah program kita, bukan saya,” katanya lagi. – MalaysiaGazette