KUALA LUMPUR – Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) GISB Holdings (GISBH), Datuk Nasiruddin Mohd Ali dan isteri merupakan antara 24 individu yang telah direman lima hari bermula hari ini bagi membantu siasatan membantu siasatan di bawah Seksyen 12 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (Atipsom) (Pindaan) 2022.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, kesemua mereka ditahan reman sekali lagi ekoran satu laporan polis yang dibuat oleh individu di Cheras yang menjadi mangsa dieksplotasi oleh suspek ketika bekerja di syarikat terbabit dan tidak dibayar gaji.
Terdahulu CEO berkenaan bersama 18 individu yang lain ditahan polis dalam Op Global susulan laporan rumah amal kendalian syarikat itu yang didakwa terlibat dalam jenayah penderaan, pengabaian serta salah laku seksual.
Kesemua mereka telah direman selama seminggu di Mahkamah Majistret Shah Alam untuk membantu siasatan polis dan ditempatkan di lokap berpusat Shah Alam. – MalaysiaGazette