PUTRAJAYA – Doktrin pelampau yang masuk ke Malaysia menerusi fahaman terorism dari negara luar amat membimbangkan dan mampu membawa kepada perpecahan kaum.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan tidak mempunyai agenda politik kepartian dalam menangani sentimen serta fahaman pelampau keganasan yang semakin berleluasa di negara ini.
“Tiada agenda politik kepartian melibatkan keselamatan negara, bukan sekat kebebasan, memungkinkan (jika tidak dilaksana) negara akan kacau bilau. Justeru, ia harus dihentikan.
“Masyarakat harus diberi kefahaman. Ini harus didedahkan kepada rakyat mengapa perlunya undang-undang larangan ke arah kebebasan, bukan mengekang kebebasan,” katanya.
Beliau menyatakan demikian ketika berucap pada majlis Peluncuran Pelan Tindakan Malaysia Bagi Mencegah dan Menangani Fahaman Pelampau Keganasan (MyPCVE), hari ini.
Turut hadir, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan timbalannya, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah.
Anwar berkata, jika perkara itu jika tidak dicegah dari awal, perpaduan negara akan dikompromi dan sukar untuk dipulihkan semula.
“Pihak berkuasa tahu betapa payah nak pulihkan kefahaman terhadap mereka yang taksub terhadap sesuatu perkara. Untuk pihak pelampau pun nak serap perkara itu ambil masa.
“Jadi, (jika perpecahan) berlaku, ia ambil masa untuk dipulihkan semula. Sehubungan itu, wajar dipantau, khususnya di sekolah dan jabatan-jabatan agar tidak jadi penyakit menular di kalangan masyarakat kita.
“Jika tidak dilaksana awal, kita akan dikejutkan dengan tindakan keganasan seperti mana kita lihat di banyak tempat,” katanya. – MalaysiaGazette