Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berucap pada Program International Young Future Leaders Summit 2024 (iFUTURE 2024) di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL). Foto MOHD ADZLAN, 18 OGOS 2024.

PUTRAJAYA – Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) akan menganjurkan sebuah program meraikan idea dan pendapat para cendekiawan dan ilmuan.

Program pertama seumpamanya itu disasarkan dapat menarik minat para cendikiawan di seluruh dunia untuk bersama-sama menyumbang idea kepada festival ini.

“Program ini bagi kita meraikan pendapat dan idea, kalau sebelum ini kita ada program seperti MAHA (Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan) untuk rakyat melihat produk pertanian, hampir lima juta rakyat berkunjung ke MAHA2024.

“Tapi lebih mencabar bagi kita ialah bagaimana nak menganjurkan program ini di peringkat KPT, program khusus setiap tahun akan dianjurkan dan menjadi program daripada KPT,” katanya dalam ucapan sempena perhimpunan bulanan Kementerian Pendidikan Tinggi tahun 2024 di Dewan Za’ba, hari ini.

Festival itu jelas Zambry akan menggabungkan keseluruhan sektor pendidikan tinggi dan merakyatkan program anjuran kementerian berkenaan.

Malah katanya ia bagi mencerminkan hasil cetusan KPT menerusi pelajar-pelajar mahu pun tenaga pengajar di universiti-universiti kelolaan KPT.

Jelas Zambry lagi, festival itu akan diadakan pada minggu keempat November depan.

Dalam pada itu, Zambry berkata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut teruja dengan cetusan idea berkenaan sehingga mengarahkan ia dimasukkan dalam Kertas Kabinet.

“Maknanya Perdana Menteri melihat kepentingan mengadakan Festival Idea ini dan kita akan menjadikan Putrajaya sebagai Bandar Idea,” katanya lagi.

Festival Idea ini terbuka untuk semua lapisan masyarakat dan 500,000 disasarkan akan menghadiri festival berkenaan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast