Rafizi memuat naik poster podcast bertajuk 'Yang Bakar Menteri' dan akan disiarkan di semua platform media sosialnya malam ini. Gambar: Facebook Rafizi Ramli

KUALA LUMPUR – Identiti pengkritik Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli iaitu, Lim Sian See akan terbongkar melalui siaran podcast “Yang Bakar Menteri” malam ini.

Rafizi menerusi hantaran di Facebook beliau berkata, podcast itu akan disiarkan di semua platform media sosialnya pukul 8 malam.

“Ramai yang tertanya-tanya bila saya akan siarkan episod ini dan siapakah sebenarnya orang di sebalik akaun ini?

“Semua akan terjawab dalam episod ini.

“Soalan saya: aktivis-aktivis maya PN yang lain bila lagi?

“Nak tahu soalan-soalan yang ditanyakan boleh tonton esok (mala mini). Pohon disebarkan kepada semua,” katanya.

Sementara itu, Sian See yang membalas hantaran Rafizi di laman Facebooknya menjelaskan sebab mengapa beliau menyahut cabaran Rafizi untuk menyertai podcast berkenaan.

“Seperti yang saya jawab pada pegawai menteri dan moderator, ianya adalah sebab Rafizi sanggup menipu rakyat bahawa kelemahan nilai ringgit pada awal tahun ini adalah disebabkan 1MDB.

“Kenyataan menteri bahawa menunggu orang untuk sahut cabaran dia seumpama menunggu bulan jatuh ke riba.

“Sebab itu saya terima sebab saya tak mahu menteri tunggu bulan jatuh.

“Ada satu lagi sebab ialah saya nak menyatakan banyak fakta-fakta penting berkenaan ekonomi, dasar kerajaan, 1MDB dan kes (Datuk Seri) Najib (Razak) dan mencabar dia untuk nafi atau kata tidak benar,” ujarnya.

Sian turut memaklumkan, beliau juga mahu menghentikan spekulasi bahawa beliau tidak bertanggungjawab atas posting-posting yang dibuat dan beliau sebenarnya adalah satu pasukan dan bukan seorang individu. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here