Ihsan Foto : REUTERS

KATHMANDU – Setakat semalam, sekurang-kurangnya 170 maut dan 42 lagi masih hilang selepas republik itu dilanda hujan monsun tanpa henti yang mengakibatkan banjir dan tanah runtuh.

Hampir keseluruhan kawasan di situ ditenggelami air akibat banjir kilat susulan limpahan air sungai yang melalui Kathmandu.

Ia sekali gus menyebabkan kerosakan teruk pada lebuh raya yang menghubungkan ibu negara Nepal dengan kawasan-kawasan lain di negara itu.

Jurucakap Kementerian Dalam Negeri Nepal, Rishi Ram Tiwari berkata, pihaknya menggunakan jentolak untuk membersihkan beberapa lebuh raya yang dihalang sisa-sisa banjir dan mengakibatkan perhubungan terputus.

“Dalam operasi itu, lebih 3,000 orang berjaya diselamatkan,” katanya.

Sementara itu, jurucakap Polis Nepal, Dan Bahadur Karki berkata sekurang-kurangnya 35 daripada mereka yang terbunuh berada di atas tiga kenderaan dan tertimbus hidup-hidup akibat tanah runtuh di lebuh raya di selatan Kathmandu.

Berdasarkan laporan Jabatan Hidrologi dan Meteorologi , data awal yang diterima dari stesen mengukur hujan di 14 daerah mencatatkan rekod hujan yang baharu dalam tempoh 24 jam hingga pagi Sabtu.

Sebuah stesen di lapangan terbang Kathmandu merekodkan kira-kira 240 millimeter hujan, tertinggi sejak 2002.

“Lebih 3,000 anggota keselamatan dikerahkan untuk membantu usaha menyelamat dengan helikopter dan bot bermotor,” katanya

Pasukan penyelamat terpaksa menggunakan rakit untuk menarik mangsa yang terselamat ke tempat yang selamat.

Manakala operasi penerbangan domestik yang dihentikan sepenuhnya akibat cuaca dari petang Jumaat telah disambung semula pagi semalam. – AFP

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast