Logo Global Ikhwan Services and Business Holdings (GIBSH)

PUTRAJAYA – Kementerian Dalam Negeri meletakkan kepercayaan sepenuhnya kepada kompetensi Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam menjalankan siasatan berhubung kes Global Ikhwan Sdn Bhd Holdings (GISBH).

Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, PDRM telah menjalankan tanggungjawab dengan sebaiknya terhadap kes berkenaan yang menjadi tumpuan umum.

“Saya mendukung sepenuhnya tindakan yang dilakukan oleh pasukan polis ke atas GISBH di atas siasatan yang sangat jelas.

“Berlaku eksploitasi terhadap wanita dan kanak-kanak…ada compailing evidence, teruskan (siasat). Di bawah Kanun Keseksaan, ada, teruskan (siasat), di bawah jenayah seksual kanak-kanak, teruskan (siasat), di bawah Atipsom (Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ada), buka siasatan.

“Kalau ada elemen buruh paksa, bekerja tapi tak dibayar gaji, buka kertas siasatan…80 kertas siasatan itu yang sekarang ini telah dibuka, teruskan…itu bahagian kita.

“Kalau ada yang berlawanan dari sudut agama itu autoriti Jakim…kita kerjasama dengan Jabatan Pendaftaran Negara dengan Kementerian Kesihatan Malaysia dan Kementerian Pembangunan Wanita Keluarga Masyarakat termasuk Kementerian Pendididkan semua itu ada rekod,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Perhimpunan Bulanan Kementerian Dalam Negeri (KDN), di sini, hari ini.

Sebelum ini Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain dilapor berkata, pihaknya telah membuka 10 kertas siasatan ke atas GISB Holdings berhubung dakwaan buruh paksa yang dilakukan.

Katanya, kertas itu dibuka mengikut Seksyen 12 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (Atipsom) 2007.

PDRM melancarkan Op Global pada 11 September lalu dengan menyerbu 20 rumah amal di Selangor dan Negeri Sembilan yang dikaitkan dengan GISBH, susulan dakwaan pembabitan dalam aktiviti eksploitasi kanak-kanak dan penyalahgunaan agama.

Sejak Op Global bermula, lebih 300 individu termasuk pengurusan tertinggi GISBH ditahan, manakala 572 mangsa berjaya diselamatkan.

Sementara itu, pada sidang medianya selepas perhimpunan berkenaan, Saifuddin berkata, beliau yakin dengan kecekapan polis dalam mengendalikan kes berkenaan.

Katanya, tindakan mesti diteruskan jika terbukti terdapat eksploitasi terhadap wanita, kanak-kanak serta kesalahan seksual terhadap kanak-kanak, atau pemerdagangan manusia.

Tambah Saifuddin, selain polis, Jabatan Pendaftaran Negara juga memainkan peranan penting dalam kes GISB dengan mengenal pasti dokumen pengenalan diri kanak-kanak yang telah diselamatkan.

“Sesetengah daripada Persatuan Peguam Syarie telah menimbulkan persoalan berhubung kesahihan (anak-anak), tetapi bagi kami dokumen pengenalan diri mereka adalah sijil kelahiran yang mencukupi,” ujarnya. – MalaysiaGazette

 

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here