Aiskrim dari Taiwan seberat lebih tiga tan dihantar semula ke negara asal susulan tiada permit import yang sah.

BUTTERWORTH – Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) telah mengarahkan kontena dagangan berisi aiskrim dari negara Taiwan berpatah balik ke negara asal.

Maqis Pulau Pinang dalam satu kenyataan berkata, dagangan bernilai RM355,874 itu dibawa masuk ke negara ini menerusi Pelabuhan Pangakalan Kontena Butterworth di sini, hari ini.

“Semakan lanjut mendapati aiskrim seberat 3,772 kilogram itu tidak mempunyai permit import Maqis yang sah.

Pegawai Maqis Pulau Pinang menjalankan pemeriksaan ke atas kontena yang membawa dagangan aiskrim dari Taiwan tanpa permit import yang sah.

“Perbuatan mengimport produk tanpa permit yang sah adalah menjadi satu kesalahan di bawah Seksyen 11(1), Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 [Akta 728] yang boleh dihukum di bawah Seksyen 11(3) akta yang sama.

“Jika sabit kesalahan, individu boleh didenda tidak lebih RM100,000 atau dipenjarakan tidak melebihi enam tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sehubungan itu, Maqis mengingatkan semua pemain industri agar sentiasa merujuk dan
mematuhi syarat-syarat perdagangan import dan eskport negara.

“Sebarang perbuatan yang tidak mematuhi syarat adalah menjadi suatu kesalahan dan tindakan tegas akan dikenakan.

“Tiada kompromi akan diberikan kepada mana-mana syarikat yang melanggar ketetapan undang-undang demi menjamin keselamatan dan keterjaminan industri makanan negara,” katanya. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here