Tangkap layar rakaman CCTV yang menunjukkan perbuatan suspek mencuri pakaian dan ampaian.

SEREMBAN – Polis menahan seorang lelaki yang disyaki mencuri pakaian dan ampaian milik seorang penduduk di Taman Chip Aik, di sini, semalam.

Menurut Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohamad Hatta Che Din, pihaknya telah menerima laporan berhubung kejadian itu pada jam 10.18 pagi, hari yang sama.

“Hasil maklumat yang diterima daripada orang awam melalui media telah membawa kepada penahanan seorang lelaki berusia dalam lingkungan 30-an serta rampasan yang dipercayai dicuri dalam kejadian ini.

“Kes akan diklasifikasikan sebagai kes kecurian harta benda dan siasatan akan dijalankan mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau turut meminta saksi kejadian untuk tampil memberi keterangan dengan menghubungi penolong pegawai penyiasat IPD Seremban, Sarjan Mohd Hazrat Abdul Rashid di talian 011-619229004.

Sebelum ini tular rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yan menunjukkan sebuah kereta berwarna biru berhenti di hadapan rumah dan pemandunya keluar serta membuka pintu belakang, lalu menarik masuk ampaian penuh dengan pakaian ke dalam kereta.

Lelaki itu turut mengambil beberapa lagi helai pakaian di sebuah lagi ampaian yang diletakkan di hadapan rumah sebelum melarikan diri.

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here