KUANTAN – Pertandingan Debat Generasi MADANI Piala Menteri Pendidikan Peringkat Kebangsaan Tahun 2024 yang berakhir semalam berjaya menterjermahkan aspirasi bangsa Malaysia kerana para pesertanya terdiri daripada daripada pelbagai kaum yang mewakili murid sekolah menengah dari seluruh negara.
Pelibatan pelbagai kaum ini menjadikan pertandingan kali ini yang disertai 80 orang murid dari 16 pasukan debat cukup menarik.
Pertandingan ini lebih istimewa apabila barisan pendebat bukan sahaja dari Semenanjung tetapi disertai juga kaum bumiputera Sabah dan Sarawak.
“Inilah yang kita mahukan dalam pertandingan debat yang mewakili aspirasi bangsa Malaysia dengan kekuatan dan latar belakang kaum yang pelbagai,” katanya ketika mengulas pertandingan debat yang diadakan di Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) Kampus Gambang selama tiga hari sejak 25 September lalu.
Pertandingan Debat Generasi MADANI Piala Menteri Pendidikan Peringkat Kebangsaan Tahun 2024 ini julung kali diadakan kerana sebelum ini ia dikenali sebagai Pertandingan Bahas Bahasa Melayu Ala Parlimen Sekolah Menengah Peringkat Kebangsaan.
Kelainan yang ditampilkan dalam pertandingan itu bertujuan menyatukan pelbagai kaum di Malaysia dalam Memartabatkan Bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu, bahasa intelektual, bahasa sastera dan bahasa pentadbiran dalam kalangan rakyat Malaysia.
Para peserta yang bertanding kali ini adalah dalam kalangan pendebat terbaik dari sekolah-sekolah terpilih yang mewakili negeri masing-masing.
Bagi peringkat negeri para peserta boleh dipilih dari sekolah berbeza tetapi untuk ke peringkat kebangsaan, setiap pasukan mestilah terdiri daripada murid pelbagai kaum atau etnik.
Pendebat terdiri daripada murid tingkatan satu hingga lima yang berumur 13 hingga 17 tahun sahaja.
Format yang diperkenalkan dalam Pertandingan Debat Generasi MADANI bagi mencabar murid-murid sesuai dengan peranan institusi persekolahan sebagai pusat kecemerlangan sekali gus melahirkan murid-murid yang berani dan berfikiran tajam dalam mengutarakan hujah secara spontan dan sopan serta bernas.
Dalam pertandingan debat ini, pasukan debat dari Johor dinobatkan sebagai Johan, manakala Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur sebagai Naib Johan dan Sarawak mendapat tempat ketiga.
Bermula dengan dua rangkap pantun “Sebelum Zohor, piala debat milik Johor” oleh Muhammad Soufi Hamim Mohd Faisal ketika membuka gelanggang pertandingan pada pusingan akhir, pasukan debat Johor langkah kanan apabila mengalahkan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.
Muhammad Soufi berkata, dia bersyukur kerana kemenangan kali ini membolehkan Johor mengekalkan kejuaraan tahun lalu.
“Kami memang berdoa hendak bawa pulang Piala Menteri Pendidikan dan kami gembira kerana sudah menang. Kami tidak sangka akhirnya ‘chemistry’ kami berjaya, alhamdulillah,” katanya penuh kepuasan kerana pasukannya bekerja keras untuk menjulang piala ini.
Murid tingkatan lima Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Maahad Muar ini menambah, pasukannya terdiri daripada lima murid telah dilatih oleh pengurusan Akademi Debat Johor.
“Terima kasih Akademi Debat Johor yang melatih kami. Kepada siapa yang akan terpilih menyertai akademi ini nanti, selamat maju jaya untuk meneruskan hatrik Johor tahun depan.
“Terima kasih jurulatih dan cikgu-cikgu yang melatih sehingga sampai pertandingan kebangsaan,” tambahnya yang tersenyum gembira.
Rakan sepasukannya, Umira Alisya Shamsir sependapat dengan Muhammad Soufi bahawa akademi yang diasaskan oleh Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi sangat bermanfaat dalam melatih dan menggilap bakat pendebat.
Murid tingkatan empat Sekolah Menengah Sains Batu Pahat itu berkata, akademi yang ditubuhkan pada awal tahun ini berjaya membantu pasukan meningkatkan kemahiran komunikasi telah memilih 15 murid yang berpotensi dalam acara debat itu.
Bagaimanapun, latihan bermula bulan Ogos, jadi setiap minggu mereka mengadakan latihan secara dalam talian sehingga berlatih secara bersemuka.
“Kami berbeza sekolah dan berkumpul seminggu sebelum pertandingan dengan membuat latihan bersama-sama,” katanya.
Manakala rakan sekolahnya, Mohamad Fareez Ikmal Mohd Fahed berkata, tugasan yang diberikan sememangnya mencabar namun dengan adanya pasukan yang baik maka tidak mustahil kejayaan dapat dikecapi bersama.
”Sebenarnya perjalanan kami tak mudah cuma kami bertekad mahu mengekalkan kejuaraan Johor, membawa nama negeri kami,” katanya.
Dengan tajuk ’Kesedaran Literasi Undang-Undang Masih Ditakuk Lama’ usul mereka memberi kelebihan kepada Johor apabila diberi markah 5-2 oleh pihak juri.
Majlis penutupan pertandingan itu turut dihadiri Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia Sektor Operasi Sekolah mewakili Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia KPM, Zainal Abas dan Exco Kanan Kerajaan Negeri Pahang, Exco Pertanian Industri Asas Tani, Bioteknologi dan Pendidikan, Dato Sri Ir. Haji Mohd Soffi Tan Sri Abdul Razak. – MalaysiaGazette