PUTRAJAYA – Amalan peruntukan subsidi bagi sektor pendidikan yang dinikmati oleh golongan kaya perlu dikaji semula, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Perdana Menteri berkata, tindakan itu perlu dilakukan agar ia dapat memberi memanfaatkan kepada golongan yang benar-benar memerlukan.
Jelas beliau, subsidi yang memberi manfaat kepada majoriti anak golongan elit telah meletakkan negara dalam keadaan tidak adil kepada golongan miskin.
“Cuma masalah yang harus kita fikir sekarang ialah bagaimana buat penilaian, peratusan anak miskin yang ke sekolah menengah sains, maktab rendah sains, kolej melayu ketimbang golongan yang mewakili golongan elit.
“Sekadar yang saya dapat faham, majoriti memberi manfaat kepada golongan yang elit.
“Ini termasuk orang kanan penjawat awam, pimpinan politik, pengusaha-pengusaha terkenal, itu semua yang dihantar sekolah terbaik yang dibiayai kerajaan dengan kadar tinggi sebenarnya meletakkan kita dalam keadaan paling tidak munasabah dan adil,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Simposium Kemiskinan Kebangsaan 2024 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Anwar berkata, anak golongan kaya tidak kira mana-mana kaum sepatutnya perlu membayar yuran universiti tanpa subsidi dalam usaha menampung kelompongan pelajar miskin.
Tambah beliau, ini kerana kerajaan perlu adil terhadap golongan yang memerlukan termasuk golongan rentan dengan agihan yang adil bagi mengelak ketirisan.
“Sepatutnya kalau anak orang kaya itu dihantar ke Fakulti Kejuruteraan, baik Melayu, Cina atau Iban, dia bayarlah. Jadi dengan cara itu, kita boleh menampung kekurangan.
“Kalau tidak subsidi ini berterusan hasil ini akan digunakan membantu tambahan kepada rakyat yang miskin.
“Bagaimana harus kita lakukan? Dengan memastikan dana diagihkan dan bagaimana boleh dapat diagihkan dana.
“Bentuk ketirisan termasuk anak golongan paling kaya ke sekolah menengah sains dibantu subsidi tinggi ini harus dihentikan,” katanya. – MalaysiaGazette