20 pengamal media menerima penghargaan daripada Ravindar Singh dalam majlis di IPD Cheras hariini

KUALA LUMPUR – Program Taman Angkat oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) bersama  rakan kolaborasi dan masyarakat setempat banyak membantu mengekang kes jenayah di daerah Cheras.

Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Ravindar Singh Sarban Singh berkata, daerah Cheras kini berjaya melaksanakan tujuh Taman Angkat.

Tujuh perumahan tersebut ialah Taman Angkat IPD Cheras ialah Perumahan Awam Seri Sabah 3B, Perumahan Awam Seri Pulau Pinang, Taman Midah, Taman Miharja Fasa1, Projek Perumahan Rakyat (PPR) Salak Selatan, PPR Raya Permai dan PPR Pinggiran.

“Program Taman Angkat ini mendapat sambutan luar biasa yang mana masyarakat atau penduduk dilatih bagaimana hendak salur maklumat kepada polis untuk mencegah jenayah.

“Program ini akan diteruskan dan serap banyak lagi taman angkat pada masa akan datang kerana ia banyak memberi kebaikan khususnya dalam membantu polis dan masyarakat mengekang kadar jenayah di kawasan setempat,” katanya ketika ditemui pemberita hari ini.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Perhimpunan Bulanan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras di sini pada Isnin.

Dalam majlis sama, seramai 20 petugas media antara rakan-rakan stategik IPD Cheras yang menerima sijil penghargaan daripada Ravindar Singh sebagai menghargai kerjasama dan liputan IPD Cheras sejak lima bulan lalu.

Mengulas lanjut, Ravindar berkata, program Taman Angkat ini diperkenalkan, polis menerima banyak maklumat berhubung kes jenayah sehingga berjaya menangkap suspek-suspek jenayah secara efektif.

“Kerjasama masyarakat ini meningkatkan tahap keyakinan  terhadap penyampaian polis, bersesuaian dengan tema ‘Polis dan Masyarakat Berpisah Tiada’.

“Kalau kita harapkan polis untuk kawal seluruh pelosok negera,  itu agak sukar kerana banyak pintu keluar masuk.

“Dengan jalinan kolaborasi polis dan masyarakat menerusi Taman Angkat, ia secara tidak langsung berjaya membolehkan masyarakat serta komuniti di daerah ini sedar dan memahami akan tanggungjawab sebagai mata dan telinga polis,” tambahnya. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here