Mustapha Sakmud

KUANTAN – Kementerian Pengajian Tinggi akan terus membuat pemantauan jika terdapat mana-mana pensyarah atau pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) terlibat dengan ajaran yang ada kaitan dengan GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH).

Bagaimanapun sehingga kini tiada mana-mana pensyarah atau penuntut yang terlibat dengan organisasi tersebut, kata Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Ts. Mustapha Sakmud.

“Setakat maklumat yang kita ada, tiada penuntut yang terlibat dalam organisasi GISBH,” katanya selepas merasmikan  Simposium Elsevier MTUN Ke-3 sempena Hari Akademia 2024 anjuran Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) dan Elsevier di Hotel Zenith hari ini.

Simposium tersebut memfokuskan pendekatan AI dalam memantapkan kualiti pengajaran dan pembelajaran terutama dalam Rangkaian Universiti Teknikal Malaysia (MTUN).

Program itu diadakan kerjasama KPT, MTUN dan Elsevier yang turut dihadiri Naib Canselor UMPSA, Prof Datuk Ts Dr Yuserrie Zainuddin.

Katanya, KPT akan mematuhi sebarang keputusan dalam mesyuarat Majlis Raja-Raja terhadap warganya termasuk kakitangan Institusi Pengajian Tinggi (IPT) dan penuntut seandainya mereka terlibat dengan doktrin fahaman kumpulan berkenaan.

Difahamkan keputusan berkaitan doktrin fahaman GISBH bakal diketahui selepas mendapat perkenan daripada Majlis Raja-Raja yang dijadual bersidang pada 23 dan 24 Oktober.

“Kita tunggu keputusan dulu. Setakat ini, kita tunggu apa yang dibincangkan, selalunya akan ada input daripada kementerian berkaitan sebagai pertimbangan,” katanya.

KPT sebelum ini berkata, pihaknya memberi kerjasama penuh kepada siasatan polis jika terdapat pensyarah atau pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) terlibat dengan ajaran dalam GISBH pada 21 September lalu.

Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Zambry Abd Kadir berkata, langkah itu bagi memastikan IPT bebas daripada sebarang bentuk dakyah dibawa GISB.- MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here