Saifuddin Nasution Ismail

PUTRAJAYA – Ucapan Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan pada Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) ke-79 di New York kelmarin, jelas menggambarkan ketegasan Malaysia terhadap pelbagai isu sejagat termasuk keadilan terhadap Palestin.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, seluruh isi kenyataan yang dibawa oleh Mohamad pada perhimpunan berkenaan juga melambangkan pendirian negara yang konsisten.

“Kenyataan Tok Mad (Mohamad) ini telah mewakili seluruh isi kenyataan kerajaan. Ya, ini adalah pendirian kita (Malaysia).

“Kita tahu isu antarabangsa ini sangat dinamik, tapi yang paling penting adalah ketegasan dan konsistensi kita dalam memanfaatkan forum di peringkat UN (Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu) seperti yang disampaikan Tok Mad,” katanya pada sidang media selepas Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Dalam Negeri (KDN) di sini, hari ini.

Dalam ucapannya ketika Debat Umum UNGA pada Sabtu lalu, Mohamad membuat rayuan tegas untuk pelaksanaan penuh Resolusi ES-10/24, menggesa Majlis Keselamatan PBB (UNSC) bertindak tegas untuk menghentikan aktiviti penempatan haram Israel di Wilayah Palestin yang Diduduki (OPT).

Mohamad menekankan, sokongan padu masyarakat antarabangsa terhadap resolusi itu dan menegaskan ia mewakili kehendak antarabangsa untuk mencapai keadilan bagi rakyat Palestin.

Bagaimanapun, beliau turut menegaskan ketidakupayaan UNSC untuk bertindak yang sebahagian besarnya disebabkan kuasa veto anggota tetap tertentu, terus menghalang kemajuan.

Dalam perkembangan berlainan, Saifuddin berharap perbahasan berhubung pindaan Perlembagaan berkaitan kewarganegaraan akan diberi keutamaan pada sidang Dewan Rakyat bermula 14 Oktober ini.

“Pada sesi Dewan Rakyat yang lepas, saya sudah selesai bacaan kali kedua, tapi sidang Dewan Rakyat ditangguhkan untuk agenda mesyuarat yang lain.

“Tetapi kita harap pada Oktober nanti minggu pertama kita dapat tempat dalam agenda urusan mesyuarat sidang Parlimen supaya keutamaan kepada perbahasan mengenai pindaan perlembagaan kerana kita sudah (berada) di penghujung,” katanya.

Pada 24 Mac lepas, RUU Perlembagaan (Pindaan) 2024, telah dibacakan kali pertama di Dewan Rakyat, antara lain bertujuan menurunkan had umur untuk memohon kewarganegaraan daripada umur 21 tahun kepada 18 tahun.

Media melaporkan, pindaan itu demi menyelaraskan umur mengundi di Malaysia dan takrif kanak-kanak yang diperuntukkan dalam Akta Kanak-Kanak 2001 (Akta 611), serta umur dewasa di bawah Akta Umur Dewasa 1971 (Akta 211).

Selain itu, ia turut melibatkan pindaan pada Fasal (2) Perkara 15 Perlembagaan Persekutuan dan pindaan kepada beberapa peruntukan lain dalam Bahagian III, Perlembagaan Persekutuan. – MalaysiaGazette

 

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here