video seorang peserta program menembak gagak anjuran MBSJ dan Polis tular di media sosial diberi penjelasan oleh IPD Subang Jaya pada Isnin 30 September 2024.

SUBANG – Video tulay yang memaparkan seorang lelaki melepaskan tembakan di tempat awam di Subang Jaya, Selangor adalah operasi menembak gagak.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat berkata, video itu dikesan di media sosial yang dimuat naik oleh pemilik akaun facebook bernama Hussain Zakir di URL: https://www.facebook.com/reel/538458035391741.

“Notis pemakluman kepada orang ramai telah dikeluarkan oleh Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) berkenaan operasi menembak gagak anjuran pihak berkuasa tempatan itu yang diadakan pada 28 September lalu bersama polis IPD Subang Jaya dan IPD Serdang.

“Tujuan operasi tersebut adalah untuk mengawal populasi gagak di bawah pentadbiran kawasan MBSJ,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Menurut Wan Azlan, operasi berkenaan telah mendapat kelulusan daripada pihak unit pelesenan senjatapi Ibupejabat Polis Kontinjen Selangor.

Tambah beliau, operasi menembak gagak itu telah disertai 25 orang yang terdiri daripada orang awam yang memiliki lesen senjata api secara sah.

“Selain itu, pihak penganjur juga telah mengambil langkah-langkah keselamatan mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) yang telah ditetapkan.

“Operasi berkenaan berjalan dengan lancar dan tiada sebarang kejadian tidak diingini berlaku,” ujarnya. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here