Bangunan Wisma Putra Kementerian Luar Negeri di Putrajaya. Foto HAZROL ZAINAL, 18 APRIL 2022.

KUALA LUMPUR – Kerajaan sedang melaksanakan proses evakuasi 15 lagi rakyat Malaysia di Lubnan berikutan serangan berterusan rejim Zionis Israel ke atas negara itu.

Kementerian Luar berkata, proses evakuasi melalui Kedutaan Besar Malaysia di Beirut itu turut membawa bersama tiga warga asing yang merupakan pasangan kepada rakyat Malaysia di Lubnan.

“Manakala, empat rakyat Malaysia memilih untuk terus kekal di Lubnan.

“Empat pegawai Kedutaan Besar Malaysia di Beirut akan meneruskan operasi di Lubnan sehingga dimaklumkan kelak,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Sembilan daripada mereka telah meninggalkan Lubnan secara sukarela (sebelum ini), jelas Wisma Putra.

Bagaimanapun, katanya, empat rakyat Malaysia memilih untuk terus kekal di Lubnan, manakala empat pegawai Kedutaan Besar Malaysia di Beirut akan meneruskan operasi di negara tersebut.

Sementara itu, Kementerian Luar berkata, serangan rejim Israel terhadap Lubnan jelas melanggar Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan undang-undang antarabangsa yang mengancam keselamatan, kestabilan serta kedaulatan dan integriti wilayah negara terbabit.

Justeru itu, Malaysia mengecam tindakan rejim Zionis Israel yang berterusan melancarkan serangan udara dan darat terhadap Lubnan.

“Malaysia bersolidariti bersama Lubnan dan masyarakat antarabangsa untuk mendesak rejim zionis Israel melaksanakan gencatan senjata segera bagi mengelakkan bencana kemanusiaan yang lebih dahsyat di Lubnan.

“Penting bagi semua pihak untuk tidak mengeruhkan lagi keadaan yang sedia tegang di rantau tersebut,” katanya.

Serangan udara dilancarkan Israel ke atas Beirut pada awal pagi semalam, kali pertama serangan berlaku dalam sempadan ibu negara Lubnan sejak perang Israel-Hamas tercetus pada 7 Oktober tahun lalu.

Sehingga kini, serangan udara Israel ke atas Beirut tertumpu di bahagian selatan bandar itu iaitu kawasan yang padat dengan penduduk dan kebanyakannya terdiri daripada golongan Syiah yang juga kubu kuat Hezbollah. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here