KUANTAN – Keseriusan kerajaan dalam melaksanakan Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 [Akta 852] yang berkuat kuasa hari ini diambut baik orang ramai.
Pelaksanaanya menyaksikan Kementerian Kesihatan akan memberi tumpuan Kementerian Kesihatan untuk mendidik masyarakat tentang bahaya rokok dan vape.
Akta yang berkuat kuasa serentak bersama Peraturan-Peraturan dan Perintah di bawahnya membabitkan beberapa aspek yang bakal dikuatkuasakan secara serta merta dan juga secara berfasa.
Antara aspek yang dikuatkan serta merta termasuk peruntukan membabitkan penjualan produk merokok berbentuk permainan dan menarik perhatian golongan kanak-kanak dan remaja bagi mengekang kebolehdapatan produk terbabit.
Hafizi Rozaihan, 40, bersetuju jika aktiviti penjualan rokok elektronik diharamkan terus selain memperketatkan penguatkuasaan dan pemantauan secara berterusan dilakukan.
“Perkara paling penting adalah tentang masa depan anak muda kita, jangan fikirkan sudut ekonomi semata-mata, sebab benda ini sudah jadi barah dan semakin kritikal.
“Kalau kita lihat negara jiran dah perketatkan perkara ini, negara kita masih perlahan dalam bertindak sehingga menyebabkan lambakan rokok elektronik tanpa sekatan oleh majoritinya budak sekolah,”
Tambahnya, aktiviti menghisap vape juga dilihat tidak sopan sama ada bagi pengguna lelaki atau wanita di tempat awam, apatah lagi penggunaan di kalangan remaja dan kanak-kanak.
Justeru keprihatinan kerajaan dalam menjaga kesihatan rakyat bagi pelan jangka masa panjang lebih utama berbanding aspek ekonomi.
Badrul Faizudin Mat Isa, 30 berkata, beliau menyokong pelaksaanaan akta tersebut kerana sebelum ini bahan terkandung dalam rokok elektronik mempunyai kesan yang lebih buruk kepada perokok.
Peniaga ini berharap pelaksanaan akta berkenaan diteruskan dan dilaksanakan secara menyeluruh selain mengenakan tindakan tegas kepada yang ingkar.
”Bila ada akta ini lebih baik dapat hentikan promosi vape daripada berleluasa. Ramai yang terpengaruh hisap vape boleh berhenti merokok tetapi tidak dan boleh dapat penyakit lain pula.
”Nampak ada komitmen kerajaan dalam mengawal penjualan produk merokok dan rokok elektronik, yang sebelum ini dijual secara terbuka tanpa larangan yang ketat. Jadi biar semua sedar Akta 852 ini ada dan dilaksanakan.
“Lepas ini pencemaran kurang berpunca daripada asap rokok dan rokok elektronik,” tambahnya.
Rosamsidah Mohd Fadzir, 46, berpendapat pelaksanaan akta berkenaan sedikit sebanyak melindungi golongan pelajar daripada terjebak aktiviti menghisap rokok elektronik.
Beliau berpendapat program advokasi berkaitan Akta 852 perlu diperluaskan kepada semua lapisan masyarat bagi memastikan pelaksanaannya mencapai matlamat berikutan masih ada pihak belum sedar keperluan akta itu.
“Sebagai ibu, saya bimbang dengan aktiviti penjualan vape yang tidak terkawal. Tapi sekarang sudah ada akta, dan kita harap akta ini didedahkan secara meluas.
“Bukan apa, akta ini sangat penting dalam melindungi kesihatan anak-anak kita. ini langkah positif. Kita harap ramai lagi ada kesedaran kepentingan kesihatan awam kepada masyarakat,” katanya. – MalaysiaGazette