Aminuddin Yahaya.

KUALA LUMPUR – Gabungan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Melayu-Islam (Nasionalis) menggesa kerajaan untuk memberi tumpuan lebih serius kepada isu-isu kritikal dalam negara yang dibangkitkan rakyat.

Presiden Nasionalis, Aminuddin Yahaya mendakwa, kerajaan dilihat berdiam diri dengan isu-isu yang kritikal dan menggugat kedudukan negara serta jawatan pemimpin.

Antara isu itu, jelas beliau, berkenaan ancaman di Laut China Selatan, kebanjiran pendatang asing sama ada secara sah atau sebaliknya, jurang ekonomi yang meruncing antara kaum serta kebimbangan berkenaan sekuriti makanan.

Malah, dakwanya lagi, media juga tidak memberikan perhatian terhadap isu kritikal itu tetapi lebih kepada isu sensasi bertujuan melariskan jualan akhbar mereka.

“Mendengar ceramah-ceramah di medan politik, perbahasan di dalam Dewan Rakyat dan Dewan Negara, kenyataan-kenyataan pemimpin politik, saya melihat kita masih jarang mendengar isu-isu negara dibincangkan secara tuntas.

“Secara umumnya negara dihujani saban hari dengan pelbagai isu-isu remeh-temeh yang hanya merendahkan pemikiran rakyat,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Ujar beliau, apa yang dimahukan majoriti rakyat ketika ini adalah penyelesaian kepada isu-isu kritikal yang sedang dihadapi negara.

Jelasnya, cadangan penyelesaian daripada kerajaan terhadap isu itu akan akan melahirkan kesatuan dan kerjasama dalam kalangan rakyat untuk berganding bahu bagi ‘menyelamatkan’ negara.

“Cukup-cukup lah kita bicarakan isu tata kelola kerana rakyat sudah mual serta sudah terlalu banyak diperkatakan sehinggakan ia tidak lebih hanya mengulangi nota-nota yang sama.

“Bukan kita tidak bersetuju, namun cukup sekali dua kerana rakyat secara umum sudah faham dan memang menyokong mana-mana usaha membanteras rasuah. Tangkap dan hukumlah mereka,” katanya. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here