Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi dan Calon Barisan Nasional, Syed Hussien Syed Abdullah bergambar selepas disiytiharkan sebagai pemenang Pilihan Raya Kecil (PRK) N.29 Mahkota di Pusat Penjumlahan Rasmi Undi di Dewan Tunku Ibrahim Ismail, Kluang. Foto SADIQ SANI, 28 SEPTEMBER 2024

KUALA LUMPUR – Desakan berterusan daripada pemimpin Pakatan Harapan (PH) supaya Kerajaan Perpaduan ditubuhkan di Johor akan menimbulkan persoalan dalam kalangan rakyat berhubung keikhlasan parti itu dalam kerjasama dengan Barisan Nasional (BN) ketika ini.

Ketua Penerangan MCA, Neow Choo Seong berkata, pemimpin PH tidak sepatutnya terus mendesak supaya Kerajaan Perpaduan ditubuhkan di Johor yang memperlihatkan seolah-olah mereka mahu mendapatkan kuasa atau jawatan yang menjurus kepada kepentingan peribadi.

Sambil menyifatkan desakan untuk mewujudkan Kerajaan Perpaduan tidak perlu, beliau menambah, pemimpin PH sepatutnya memberi tumpuan untuk bersama-sama membela kebajikan rakyat dan membangunkan ekonomi Johor di bawah payung Kerajaan Perpaduan.

wan ahmad fayhsal lawatan rasmi
Neow Choo Seong

“Jadikan MCA sebagai contoh, walaupun kami menyokong Kerajaan Perpaduan, tetapi kami tidak mendesak atau meminta-minta sama ada di peringkat Persekutuan, negeri atau di peringkat ahli majlis sekali pun.

“Sebaliknya, kami meneruskan kerja-kerja untuk membantu rakyat dan menyokong usaha baik kerajaan sama ada di peringkat Persekutuan mahupun negeri, demi kemajuan dan kebaikan bersama.

“Ini lebih utama berbanding memenuhi kepentingan peribadi atau parti,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Sementara itu, Choo Seong berkata, MCA juga akan meneruskan usaha pemerkasaan dan transformasi dalaman supaya dapat menawan semula kepercayaan dan keyakinan rakyat, terutama dalam kalangan masyarakat Cina.

Jelas beliau, antara perubahan ketara yang dapat dilihat adalah lebih ramai golongan muda dan profesional yang diberi peluang untuk memainkan peranan aktif dalam parti.

“Terbukti MCA kini dilihat lebih proaktif dan inovatif khususnya melalui ruang media sosial,” katanya.

Sebelum ini, Pemuda Amanah mengulangi pendirian serta berharap Barisan Nasional (BN) di Johor menubuhkan Kerajaan Perpaduan selepas kejayaan besar dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota.

Ketua Pemuda Amanah, Hasbie Muda berkata, penubuhan Kerajaan Perpaduan di Johor itu adalah untuk mengekalkan momentum perpaduan dan sokongan rakyat seperti ditunjukkan pada PRK tersebut.

Pada September tahun lalu, desakan sama turut disuarakan Naib Pengerusi DAP Johor, Teo Nie Ching memandangkan ketika ini wakil-wakil daripada Pakatan Harapan (PH) sama ada DAP, Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Amanah masih tiada dalam kerajaan negeri sebagai anggota Exco. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here