Nor (tengah) bersama sebahagian daripada 40 jemaah umrah yang akan ke Tanah Suci Mekah mengerjakan umrah selama 12 hari sehingga 12 Oktober ini.

MELAKA – “Nor tak sangka, doa Nor semasa bersihkan al-Quran Mei lalu meminta Allah permudahkan impian Nor mahu ke Mekah menjadi kenyataan.

Lebih mengharukan apabila sebahagian kos ditaja insan berhati mulia.

“Sebahagian lagi duit RM3,999 adalah hasil simpanan daripada upah membersihkan masjid dan komisen jualan 50 sen setiap pek mi siput,” kata Dak Nor, atau nama sebenarnya, Nor Komariah Mohd Khalid lourdes Lio, 40.

Nor berkata demikian kepada wartawan MalaysiaGazette ketika dihubungi semasa dalam perjalanan menuju ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ke Jeddah bersama 40 lagi jemaah dijadual pukul 5.30 petang ini.

Menceritakan kembali detiknya mendapat pelawaan ke Tanah Suci lima bulan lalu, Nor berkata, sebaik sahaja dia selesai berdoa selepas membersihkan al-Quran, dia tiba-tiba dihubungi kenalannya bertanyakan mengenai hasratnya mahu mengerjakan haji sebelum ini.

Nor (lima dari kiri) bersama sebahagian daripada 40 jemaah umrah yang akan ke Tanah Suci Mekah mengerjakan umrah selama 12 hari sehingga 12 Oktober ini.

“Nor cakap memang teringin tapi simpanan Nor waktu itu baru ada RM3,000 membuatkan kakak itu bertanya adakah Nor setuju jika ada pihak yang mahu menaja separuh daripada kos umrah.

“Waktu itu hanya Allah yang tahu perasaan Nor dan terus menghubungi penyumbang berkenaan selepas dia pulang dari mengerjakan haji untuk membayar deposit RM1,000 kerana takut peluang itu diberi pada orang lain,” katanya sebak.

Menurut Nor, selepas itu ada beberapa lagi penyumbang termasuk individu tidak dikenali membantu menaja bakinya dan dia hanya perlu menambah RM3,999 menggunakan duit simpanannya menjadikan keseeluruhan kos RM7,999 dibayar awal bulan lalu.

“Nor betul-betul terharu kerana Nor bukanlah orang yang baik-baik tapi Allah tunaikan impian Nor mahu ke Tanah Suci dan amat berterima kasih kepada penyumbang serta seluruh rakyat Malaysia yang menyokong segala usaha Nor selama ini.

“Sepanjang berada di Mekah nanti, Nor mahu fokus sepenuhnya pada ibadah dan setakat ini pun Nor sudah terima lebih 30 kiriman doa daripada kenalan tapi tentulah Nor akan doakan untuk semua,” katanya menahan sebak.

Tambahya, dia dijadual mengerjakan umrah selama 12 hari dan dijangka pulang ke tanah air pada 12 Oktober ini. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here