MUAR – Hasrat seorang lelaki untuk hidup senang dan kaya pada usia muda musnah selepas diperdaya RM242,223 akibat tertipu dalam pelaburan yang tidak wujud.
Pemuda berusia 29 tahun itu diperdaya akibat tertarik dengan pulangan komisen yang lumayan.
Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisoner Raiz Mukhliz Azman Aziz berkata, semuanya bermula selepas mangsa berkenalan dengan individu tidak dikenali melalui aplikasi WhatsApp.
“Mangsa ditawarkan peluang pelaburan berkualiti tinggi dalam bidang saham termasuk pulangan komisyen lumayan iaitu antara 10 peratus hingga 100 peratus.
“Mangsa kemudiannya diminta untuk memuat turun satu aplikasi yang memaparkan pelabur-pelabur yang telah mendapat keuntungan setelah membuat pelaburan berkenaan.
“Percaya dengan paparan yang dilihat, mangsa telah membuat pelaburan melalui aplikasi tersebut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, mangsa membuat pelaburan mulai 1 Ogos hingga 19 September lalu dengan melakukan 28 transaksi menerusi empat akaun bank berbeza berjumlah RM242,223.
Pada mulanya mangsa menerima keuntungan dalam masa tiga hari berdasarkan modal yang dilaburkannya, ujar Raiz Mukhliz.
Namun katanya, gagal mengeluarkan sebarang keuntungan seperti dijanjikan sebelum ini.
“Malah sehingga mangsa masih gagal untuk mengeluarkan sebarang keuntungan malah sebaliknya diminta untuk membuat pembayaran lagi,” katanya.
Bagaimanapun katanya, mangsa enggan berbuat demikian kerana merasa telah ditipu.
Menurutnya, kes disiasat bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan, jika disabitkan kesalahan boleh dipenjara minimum setahun dan maksimum 10 tahun dengan sebatan dan denda.- MalaysiaGazette