Google melabur AS$1 bilion di Thailand

BANGKOK- Google merancang untuk melabur AS$1 bilion bagi membina infrastruktur digital termasuk pusat data baharu di Thailand.

Gergasi teknologi Amerika Syarikat (AS) itu mengumumkan, langkah tersebut dijangka membuka 14,000 peluang pekerjaan di negara Gajah Putih tersebut.

Tambahnya, hab-hab baharu di Bangkok dan kawasan perindustrian Chonburi itu bakal membantu memenuhi permintaan yang semakin meningkat dalam pengkomputeran awan di Asia Tenggara.

Pelaburan Google itu hadir selepas Microsoft mengumumkan bakal menjadikan wilayah pusat data pertama Thailand untuk merangsang infrastruktur awan dan kecerdasan buatan (AI), Mei lalu.

“Pelaburan ini akan memperkasakan lagi perniagaan-perniagaan di Thailand, inovator dan komuniti untuk menggunakan teknologi AI dan awan,” kata Ruth Porat, Presiden dan Ketua Pegawai Pelaburan Google serta syarikat induknya, Alphabet dalam satu kenyataan.

Pusat data itu bakal terletak di Chonburi, sebuah kawasan perindustrian besar di tenggara Bangkok manakala kemudahan awan akan dibina di bandaraya Bangkok.

Peluasan Google di Thailand akan menokok AS$4 bilion kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara itu menjelang 2029.

Ia juga membuka 14,000 peluang pekerjaan di antara 2025 hingga 2029. – AFP

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here