Pejabat Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) Klang di Bandar Bukit Tinggi. Foto MOHD ADZLAN 06 JULAI 2023.

KUALA LUMPUR- Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) menguatkuasakan siling gaji baharu bagi caruman daripada RM5,000 kepada RM6,000, bermula hari ini

Agensi itu dalam kenyataan berkata, ia dilakukan susulan  pindaan Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 (Akta 4) dan Akta Sistem Insurans Pekerjaan 2017 (Akta 800).

“Mulai 1 Oktober ini, amaun caruman yang akan terpakai bagi pekerja yang bergaji melebihi RM5,000 dan RM6,000 sebulan adalah seperti mana yang dinyatakan dalam Jadual Ketiga, Akta 4 serta Jadual Kedua, Akta 800.

“Majikan diminta untuk mencatatkan jumlah potongan caruman dalam penyata atau slip gaji pekerja masing-masing, bagi tujuan rekod dan aktiviti pemeriksaan oleh Perkeso,” katanya.

Tambah kenyataan itu lagi, peningkatan gaji siling tersebut dapat memberi manfaat yang lebih baik kepada pekerja yang berskala gaji melebihi RM5,000 menerusi peningkatan kadar bayaran faedah sedia ada sehingga 20.2 peratus.

Antara faedah yang boleh dimanfaati pencarum adalah Faedah Hilang Upaya Sementara (FHUS), Faedah Hilang Upaya Kekal (FHUK), Faedah Orang Tanggungan (FOT), Pencen Ilat dan Penakat di bawah Akta 4 serta Elaun Mencari Pekerjaan (EMP), Elaun Pendapatan Berkurangan (EPB) dan Elaun Bekerja Semula Awal (EBSA) di bawah Akta 800.

Dianggarkan 1.5 juta pekerja atau hampir 15.5 peratus daripada keseluruhan pencarum Perkeso di seluruh negara terlibat dalam peningkatan siling gaji ini yang merangkumi pekerja tempatan dan pekerja asing.

Sejak penubuhan Perkeso pada 1971, sebanyak enam kali peningkatan siling gaji telah dilaksanakan.

Langkah proaktif itu diambil selaras dengan kenaikan kos sara hidup dan kos menjalankan perniagaan yang perlu diimbangkan dengan pengagihan faedah serta risiko yang lebih adil kepada pencarum serta orang tanggungannya. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here