Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi, di sini, akan mendengar rayuan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk menangguhkan prosiding bankrap terhadapnya berikutan tunggakan cukai kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Turut merayu dalam kes sama ialah anak lelaki Najib, Datuk Mohd Nazifuddin.

Mahkamah akan mendengar rayuan itu pada 6 Januari tahun depan selepas permohonan difailkan pada bulan lepas.

Peguam mewakili kedua-dua pemohon, Wee Yeong Kang berkata, prosiding itu akan berlangsung secara atas talian ‘Zoom’ di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi, Suhendran Sockanathan @ Saheran Abdullah.

Najib dan Mohd Nazifuddin berdepan notis kebankrapan selepas didakwa gagal melunaskan tunggakan cukai masing-masing sebanyak RM1.69 bilion dan RM37.6 juta.

Sebelum ini, LHDN dibenarkan Mahkamah Tinggi untuk memasukkan penghakiman dalam kes tunggakan cukai Najib dan Mohd Nazifuddin.

Mahkamah membenarkan LHDN mendapatkan semula tunggakan cukai bagi tempoh 2011 dan 2017. -MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here