Kes penipuan dana infak jejas kepercayaan masyarakat – TPM

PUTRAJAYA – Penyalahgunaan kes-kes dana infak tidak digunakan untuk tujuan yang dinyatakan atau bukan untuk tujuan kebajikan boleh menimbulkan kebimbangan dalam kalangan penderma.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, ini kerana kes sedemikian akan mengurangkan sumbangan infak yang merupakan sektor ketiga dalam sistem kewangan Islam pada masa hadapan.

Beliau bagaimanapun berkata, dengan kemajuan teknologi, infak kini boleh dilakukan secara dalam talian.

“Namun ini juga membawa cabaran seperti penipuan dan ketidakpastian mengenai kesahihan platform yang digunakan untuk menyumbang.

“Justeru masyarakat perlu diberi panduan tentang cara memilih platform yang sahih dan memastikan bahawa sumbangan mereka sampai kepada penerima yang tepat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Forum Serantau YAPEIM 2024 atau FSY2024, di sini, hari ini.

Turut hadir Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Nai’im Mokhtar.

Forum yang dianjur oleh Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia atau YAPEIM bertemakan Memperkasa Ekonomi MADANI Melalui Sinergi Rangkaian Serantau.

Mengulas lanjut, Fadillah berkata, antara isu utama yang berkaitan dengan tadbir urus infak ialah ketelusan dan akauntabiliti.

Menurut beliau, masyarakat perlu diyakinkan bahawa sumbangan yang diberi digunakan dengan cara betul dan sesuai.

Katanya, tanpa laporan kewangan yang jelas dan terperinci, kepercayaan masyarakat terhadap institusi tersebut boleh terjejas sehingga menyebabkan mereka ragu untuk menyumbang.

“Saya bersyukur kerana kerajaan pada September lalu telah setuju dengan cadangan untuk meminda Akta Pemegang Amanah (Pemerbadanan) 1952 [Akta 258] dan Akta Pemegang Amanah 1949 [Akta 208] bagi mengelakkan penyelewengan dana oleh badan pemegang amanah yang ditubuhkan dengan antaranya bagi tujuan keagamaan, sosial dan kebajikan.

“Pindaan ini adalah selaras dengan usaha Kerajaan memperkasa tatakelola, integriti dan membanteras rasuah khususnya dengan memberi perhatian serius terhadap isu membabitkan profesionalisme agensi penguat kuasa yang memberi persepsi negatif terhadap orang awam.

“Ia juga merangkumi isu rasuah yang membabitkan perolehan kerajaan serta penyalahgunaan dana awam terutama membabitkan entiti yang menerima dana daripada kerajaan,” katanya. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here