Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad

PUTRAJAYA – Kementerian Kesihatan (KKM) masih dalam proses menilai dan mengenal pasti tahap keseriusan kesihatan mental kanak-kanak yang diselamatkan daripada rumah amal kendalian GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH).

Menterinya, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, setakat ini, proses pertama yang diberikan KKM kepada kanak-kanak terbabit adalah khidmat kaunseling.

“Saya percaya mungkin ada (isu kesihatan mental dalam kalangan kanak-kanak GISB yang dapat dikesan) semasa proses kaunseling tetapi kita belum dapat statistik yang terkini.

“Saya yakin kita boleh berikan kemas kini mengenai perkara ini dalam waktu terdekat,” katanya semasa sidang media selepas merasmikan sambutan Hari Warga Emas peringkat kementerian dan pelancaran Pelan Tindakan Perkhidmatan Kesihatan Warga Emas 2023-2030 di KKM, hari ini.

Dr Dzulkefly berkata demikian bagi menjawab pertanyaan media sama ada KKM mempunyai statistik kesihatan mental terhadap kanak-kanak yang diselamatkan daripada rumah amal kendalian GISB.

Dalam pada itu, Dr Dzulkefly berkata Pusat Kecemerlangan Kesihatan Mental Kebangsaan (NCEMH) turut terlibat dengan memberikan kaunseling kepada kanak-kanak mangsa GISBH.

“Perkara ini masih dalam siasatan dan KKM terlibat untuk memberikan kaunseling dan hal-hal berkaitan kesihatan.

“Kami berikan sokongan perkhidmatan kita secara khusus dan berlandaskan kepakaran dalam KKM.

“Kita bersedia untuk membantu. Kalau perlu kita akan buat kenyataan kemudian tapi sekarang kita tidak ada apa-apa yang nak terbitkan kerana saya tegaskan masih banyak siasatan,” katanya lagi.

Minggu lalu, Timbalan Menteri Kesihatan, Lukanisman Awang Sauni berkata pihaknya mengenal pasti ada dalam kalangan kanak-kanak yang diselamatkan daripada rumah amal kendalian GISB berdepan isu kesihatan mental dipercayai akibat trauma yang dihadapi.

Sebelum ini, seramai 13 pakar psikologi daripada Pusat Kecemerlangan Kesihatan Mental Kebangsaan (NCEMH) dan Hospital Kuala Lumpur (HKL) disediakan KKM bagi merawat kanak-kanak yang diselamatkan menerusi Op Global.

Kumpulan pakar psikologi tersebut merupakan pasukan petugas khas yang melakukan saringan kesihatan mental kepada kanak-kanak terbabit yang kini ditempatkan sementara di  PULAPOL Kuala Lumpur.

Terdahulu, media tempatan melaporkan polis berjaya menyelamatkan seramai 402 kanak-kanak daripada rumah amal berkaitan dengan GISBH melalui Op Global yang dilaksanakan di beberapa negeri.

GISBH didakwa mengeksploitasi kanak-kanak malah ada sebahagian mereka ini ‘dibinkan’ dengan Abdullah, sekali gus tidak mengenali ibu bapa masing-masing.

Kesemua mereka berjaya diselamatkan dalam serbuan ke atas 20 buah rumah amal sekitar Selangor dan Negeri Sembilan milik GIBSH. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here