Mohd Sohaimi Ishak

PASIR GUDANG – Seorang kontraktor rugi RM600,000 selepas tertarik tawaran keuntungan sehingga 410 peratus dalam satu pelaburan saham tidak wujud awal bulan lalu.

Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superitendan Mohd Sohaimi Ishak berkata, mangsa seorang lelaki berusia 50 tahun membuat aduan diperdaya di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seri Alam kelmarin.

Menurutnya, mangsa mendakwa diperdaya sindiket pelaburan saham menggunakan nama DFA yang dilihat dalam Facebook pada 26 Julai lalu.

“Mangsa yang berminat untuk mencuba telah dimasukkan dalam satu kumpulan WhatsApp dan diberi penerangan.

“Lelaki tersebut turut berhubung melalui panggilan video dengan suspek yang mengajar cara-cara untuk melabur,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, mangsa dijanjikan keuntungan sehingga 410 peratus untuk lima fasa pelaburan yang akan berjalan selama tiga bulan sahaja.

Jelasnya, mangsa dimaklumkan kadar keuntungan bagi setiap fasa adalah antara 50 peratus sehingga 150 peratus.

Mangsa juga katanya, ada diberikan surat perjanjian melalui WhatsApp dan diminta memuat naik aplikasi pelaburan bernama ATS-P bagi urusan selanjutnya.

Percaya dengan skim pelaburan yang ditawarkan, mangsa melakukan 17 transaksi dengan pembayaran ke dalam tiga akan bank berbeza keseluruhan berjumlah RM688,000.

Beliau memberitahu, transaksi tersebut dilakukan antara 31 Julai sehingga 8 September lalu.

“Mangsa telah berada di fasa keempat pelan pelaburan dan telah dua kali mendapat wang berjumlah RM64,000 pada Ogos lalu,” katanya.

Pada awal September lalu ujarya, pengadu mahu mengeluarkan wang daripada aplikasi ATS-P tetapi tidak berjaya dan diminta membuat pembayaran lagi bagi meneruskan pelaburan.

Namun mangsa enggan kerana memerlukan wang penambahan pelaburan yang banyak, katanya.

Akibatnya kata Mohd Sohaimi, akaun mangsa dibeku dan tidak boleh diakses lagi.

“Mangsa mula curiga dan membuat semakan di ibu pejabat syarikat tersebut dan dimaklumkan bahawa syarikat itu tidak pernah terlibat dalam pelaburan tersebut.

“Mangsa sedar ditipu dan membuat laporan polis. Kes disiasat bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan. Siasatan juga akan dilakukan jika terlibat menjadi keldai akaun,” katanya.- MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here