Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming (tiga dari kanan) menerima sijil pengiktirafan daripada Ketua Pegawai Eksekutif The Malaysia Book of Records (MBOR), Christopher Wong.

PUTRAJAYA – Penganjuran Hari Cuci Malaysia 2024 yang dilaksanakan sempena Program Pembersihan Mega Sempena World Cleanup Day secara serentak di seluruh negara menerima pengiktirafan daripada the Malaysia Book of Records (MBOR).

Anugerah itu telah diserahkan oleh Ketua Pegawai Eksekutif MBOR, Christopher Wong kepada Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Nga Kor Ming, dalam satu majlis ringkas di bangunan KPKT, hari ini.

Tiga rekod yang dipecahkan KPKT sempena Hari Cuci Malaysia 2024 adalah menerima penyertaan sebanyak 58,007 orang dari seluruh negara, pengumpulan kutipan sisa pepejal sebanyak 4.645.50 tan dan tempoh gotong-royong terlama iaitu 12 jam.

Kor Ming berkata, dari semua negeri yang menyertai program itu, Negeri Sembilan telah berjaya mengumpul sisa pepejal terberat, diikuti dengan Pahang dan seterusnya, Perak.

“Tahniah kepada Negeri Sembilan kerana berjaya mengumpul jumlah sisa pepejal tertinggi iaitu sebanyak 1,266 tan metrik, diikuti oleh Pahang dengan 827.01 tan metrik dan seterusnya Perak dengan kutipan seberat 615.28 tan metrik.

“Secara keseluruhannya, program ini telah dilaksanakan di 156 Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), komuniti PPR, PR1MA Home, sekolah, pejabat kerajaan, tempat awam dan taman perumahan. Manakala jumlah lokasi yang dilaporkan adalah 649 namun saya percaya angka sebenar adalah lebih besar,” katanya.

Pelaksanaan program ini juga seiring dengan asiprasi kerajaan MADANI yang berteraskan kepada kemampanan dan kesejahteraan masyarakat.

“Ini secara tidak langsung akan memberi tumpuan kepada skop pembersihan kawasan sekitar, pembersihan dan penutupan tapak sampah haram, pelaksanaan kempen kitar semula dan kempen ‘Kata tidak pada beg plastik sekali guna.

“Sempena kejayaan ini, saya ingin mengumumkan Hari Cuci Malaysia 2025 yang akan diadakan pada 27 September, tahun akan datang. Diharapkan KPKT akan dapat memecahkan rekod sendiri,” tambahnya.

Hari Cuci Malaysia tahun ini telah dilaksanakan secara serentak dari seluruh negara pada 28 September lalu. 

Program itu merupakan anjuran bersama KPKT, Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP) dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang turut mendapat kerjasama strategik daripada Perbadanan PR1MA Malaysia, Malakoff Corporation Berhad menerusi Alam Flora Sdn.Bhd. dan Central Market Sdn. Bhd. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here