Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abd Kadir

SHAH ALAM – Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) akan melaksanakan penyasaran semula subsidi pendidikan jika perkara itu diputuskan oleh Jemaah Menteri, kata Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Zambry Abd Kadir.

Langkah itu diadakan bagi memastikan subsidi pendidikan dapat memanfaatkan ia kepada golongan yang benar-benar memerlukan.

“Kita akan melaksanakan (penyasaran subsidi) sekiranya satu keputusan Kabinet ditentukan, kita akan buat.

“Tetapi, apa yang disebutkan oleh Perdana Menteri ketika ini supaya satu tanggungjawab moral dalam kalangan kumpulan ini terhadap peluang-peluang pendidikan untuk semua itu benar-benar difahami, khususnya kepada golongan miskin dan juga daripada kelompok-kelompok M40.

“Ada juga yang M40 mungkin dia mempunyai bilangan anak yang ramai dan ia boleh dikategorikan di bawah kelompok B40 juga,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Anugerah Khas YB Menteri Pendidikan Tinggi: Rekabentuk Kurikulum dan Penyampaian Inovatif Tahun 2024 (AKRI 2024), di Universiti Teknologi Mara (UiTM) di sini, hari ini.

Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan amalan peruntukan subsidi bagi sektor pendidikan yang dinikmati oleh golongan kaya perlu dikaji semula.

Katanya, subsidi dalam sektor itu telah memberi manfaat kepada majoriti anak golongan elit, mewujudkan keadaan tidak adil kepada golongan miskin.

Mengulas lanjut Zambry berkata, Perdana Menteri memberikan pandangannya itu memandangkan subsidi yang dilaksanakan selama ini dibuat secara pukal tanpa menyasarkan kepada golongan yang berhak untuk menerimanya.

Katanya, kerajaan membelanjakan sejumlah perbelanjaan yang sangat besar kepada golongan kecil itu termasuk dalam aspek pendidikan.

“Saya fikir ini yang disebutkan (Perdana Menteri) sebagai prinsip-prinsip keadilan sosial dan tanggungjawab moral bagi golongan-golongan yang berada ini,” tambahnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast