SHAH ALAM – Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) menunggu laporan penuh daripada pasukan khas (taskforce) yang menjalankan siasatan terhadap Global Ikhwan Sdn Bhd Holding (GISBH), sekiranya ada memerlukan penglibatan kementerian itu dalam siasatannya.
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Zambry Abd Kadir berkata, pihaknya belum ada menerima apa-apa laporan berhubung perkara itu.
“Jadi, biarlah komentar mengenai mereka ini dilakukan melalui task force ini. Kementerian Pendidikan Tinggi akan menyalurkan bantuan sekiranya diperlukan,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Anugerah Khas YB Menteri Pendidikan Tinggi: Rekabentuk Kurikulum dan Penyampaian Inovatif Tahun 2024 (AKRI 2024), di Universiti Teknologi Mara (UiTM) di sini, hari ini.
Semalam, Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk Mustapha Sakmud dilapor berkata, KPT sedang memantau kemungkinan kakitangan dan pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) yang terpengaruh dengan ajaran dan doktrin diperjuangkan GISBH.
Katanya, ketika ini kementerian itu tidak menerima sebarang maklumat berkaitan pembabitan organisasi terbabit.
Malah katanya, setiap minggu pada Mesyuarat Kabinet, perkara itu akan dibentangkan dan tiada maklumat yang diterima mengenai pembabitan kakitangan IPT atau pelajar dengan GISBH.
Sebelum ini, Zambry dipetik berkata, kementerian itu akan memberi kerjasama penuh kepada siasatan polis jika terdapat pensyarah atau pelajar IPT terbabit dengan ajaran dalam GISBH. – MalaysiaGazette