Menteri Pelajaran Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abd Kadir bercakap ketika ditemubual wartawan selepas menghadiri Majlis Anugerah Khas YB Menteri Pendidikan Tinggi: Reka Bentuk Kurikulum dan Penyampaian Inovatif (AKRI) 2024 di Dewan Agung Tuanku Canselor, UiTM Shah Alam. Foto SADIQ SANI, 01 OKTOBER 2024

SHAH ALAM – Satu langkah perlu diusahakan bagi membawa pulang pakar-pakar tempatan dalam pelbagai kategori supaya dapat mencurahkan khidmat mereka menerusi bidang-bidang yang diperlukan di negara ini.

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Zambry Abd Kadir berkata, ketika ini kerajaan menjalin hubungan dengan pihak TalentCorp Malaysia Berhad (TalentCorp) sebagai salah satu usaha matlamat tersebut direalisasikan.

“Lebih daripada 100,000 pada satu-satu masa (pakar). Bayangkan satu jumlah yang sangat besar dan mereka ini berperanan sangat penting kepada dunia pendidikan Malaysia dan juga kepada pembangunan negara kita.

“Jasa-jasa mereka ini perlu disantuni, dihargai oleh masyarakat kita secara keseluruhannya…dan supaya kita lebih tetap mengetahui siapakah mereka yang berjasa, yang berada di belakang tabir selama ini, yang menjadikan negara kita seperti keadaan sekarang ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis Anugerah Khas YB Menteri Pendidikan Tinggi: Rekabentuk Kurikulum dan Penyampaian Inovatif Tahun 2024 (AKRI 2024), di Universiti Teknologi Mara (UiTM), di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Zambry berkata, dalam konteks pendidikan tinggi, kerjasama yang dilakukan oleh KPT bersama TalentCorp itu memudahkan urusan pakar-pakar berkenaan untuk pulang ke tanahair bagi mencurahkan khidmat bakti mereka itu.

Katanya, tidak kira sama ada mereka boleh melakukannya ketika mereka mengisi masa cuti atau sebagainya kerana ia akan memberikan impak besar kepada pelajar-pejar di universiti-universiti di negara ini.

“Saya telah berjumpa beberapa (pakar) ketika saya berada di luar negara. Dan mereka menunjukkan minat untuk pulang dari masa ke masa…kerana ada lapangan-lapangan tertentu, bidang-bidang tertentu yang mungkin tidak ada dalam negara.

“Mereka ini berada di universiti-universiti di seluruh dunia atau bekerja di tempat-tempat yang hebat seperti di kilang-kilang besar, multinasional dalam bidang-bidang semikonduktor dan sebagainya.

“Pada ketikanya, mereka ini nak pulang juga untuk memberikan khidmat mereka kepada negara. Tapi ramailah pakar kita yang berada di seluruh dunia,” ujarnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast