KUANTAN – Seorang penganggur meninggal dunia dalam kemalangan membabitkan lima buah kenderaan di Jalan Pintasan Kuantan – Kemaman, berhampiran Kolej Widad, di sini jam 10.30 malam tadi.

Menurut Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Bus, kemalangan membabitkan sebuah motosikal, sebuah jengkaut, dua buah kereta Perodua Myvi dan sebuah kereta jenis Proton Waja.

Ketika kejadian, mangsa, Wai Siew Kiang, 43 yang menunggang sebuah motosikal dilaporkan telah melanggar belakang sebuah jengkaut di lorong kiri.

“Beberapa minit selepas kejadian itu, sebuah Perodua Myvi berwarna hitam di belakangnya yang dinaiki tiga individu hilang kawalan, lalu melanggar mangsa dan jengkaut tersebut.

“Dalam masa sama, Myvi hitam terbabit cuba mengelak dan mengubah haluan ke lorong kanan sehingga menyebabkan mangsa bergesel dengan sebuah Proton Waja,” katanya dalam kenyataan.

Ekoran kemalangan tersebut, sebuah Perodua Myvi berwarna putih yang datang dari arah belakang juga telah hilang kawalan dan melanggar bahagian belakang Myvi berwarna hitam itu.

Bagaimanapun, kesemua mangsa lain yang terlibat dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan.

Mangsa yang beralamat di Kuala Lumpur disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Wan Mohd Zahari berkata, kemalangan berpunca kecuaian mangsa yang dipercayai mengekori rapat di belakang jengkaut, sehingga motosikalnya hilang kawalan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (APJ). – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here