Penerangan PAS Pusat, Ahmad Fadhli Shaari bercakap pada sidang media selepas Usul Dan perbahasan Dasar ketika tinjauan lensa MalaysiaGazette di Temerloh, Pahang. Foto AIZAT ZAINAL, 14 SEPTEMBER 2024.

 

KUALA LUMPUR – Pas tidak perlu mengumumkan apa jua siasatan dalaman kepada media termasuk punca kekalahan Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota, Sabtu lalu.

Ketua Penerangan Pas, Ahmad Fadhli Shaari berkata, Pas atau PN ada kaedah bermuhasabah sendiri dan percaya proses dalaman parti tidak perlu didedahkan kepada media massa.

Jelas beliau, perkara itu sama ketika UMNO tewas pada PRK Kemaman tahun lalu dengan majoriti 37,220 undi yang mana Pas tidak `meroyan’ untuk menagih komen daripada UMNO supaya membuat ulasan bagaimana seorang panglima tentera boleh kalah dengan majoriti teramat besar.

Bagaimanapun, ujar beliau, sekiranya Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Dr. Mohd. Puad Zarkashi mahukan komen daripada Pas berhubung kekalahan di PRK DUN Mahkota, apa yang boleh disampaikan Pas adalah ucapan tahniah kepada UMNO.

Ujarnya, ucapan tahniah itu juga sama seperti ketika UMNO menang besar pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Johor, namun kemudiannya gagal mengulangi kemenangan besar itu pada pilihan raya umum.

“Boleh jadi kerana Datuk (Mohd. Puad) baru pulang dari pembelajaran di sekolah komunis di China, mungkin Datuk masih ada kesan ‘jetlag’, itu boleh difahami.

“Tapi biasanya orang ‘jetlag’ sehari dua sahaja, jika sampai seminggu masih ‘jetlag’ nampaknya kesan pembelajaran di sekolah perkaderan ideologi komunis tu benar-benar berkesan,” katanya menerusi catatan di laman sosial Facebook beliau hari ini.

Ahmad Fadhli menjawab kenyataan Mohd. Puad yang menyifatkan Pas dalam penafian mengenai kemerosotan PN berikutan kekalahan gabungan itu dalam PRK DUN Mahkota.

Menurut Mohd. Puad, Pas hanya berdiam diri manakala akhbar rasmi Pas, Harakahdaily pula menyifatkan keputusan di Mahkota tidak memberi kesan negatif kepada PN di peringkat nasional.

Jelas Mohd. Puad, pendirian Pas itu bertentangan dengan kenyataan Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang berlapang dada dan akan mengambil langkah segera bagi membaiki prestasi parti, manakala Presiden Gerakan, Datuk Dr. Dominic Lau pula melahirkan kebimbangan berhubung pengaliran semula undi Melayu kepada BN.

Dalam pada itu, Ahmad Fadhli menerusi catatan sama di Facebook turut memetik kata-kata pemimpin komunis Mao Tse Tung dalam bahasa Inggeris seperti berikut:

“We must have faith in the masses and we must have faith in the Party. These are two cardinal principles. If we doubt these principles, we shall accomplish nothing”.

Dalam nada sinis, Ahmad Fadhli berkata, beliau bukan mahu menjulang pemimpin komunis tersebut, tapi kerana berbicara dengan seseorang yang berkemungkinan graduan sekolah komunis, jadi mungkin kata-kata tersebut boleh dipegang sebagai azimat.

“Maaf ye Datuk kalau tersalah bicara,” tulisnya lagi. – MalaysiaGazette

 

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here