Pathmanathan.

GEORGE TOWN – Kira-kira 118,093 pengguna air di 41 kawasan di Seberang Perai Tengah (SPT) dan daerah Seberang Perai Selatan (SPS) akan mengalami gangguan bekalan air berjadual (SWSI) bermula jam 10 malam, Jumaat hingga 10 malam, Sabtu ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP), Datuk K Pathmanathan berkata, ia susulan pihaknya akan menjalankan kerja-kerja penggantian paip utama yang rosak berhampiran kampus Politeknik Seberang Perai di Permatang Pauh dekat sini.

Jelasnya, saluran paip baharu sepanjang 180 meter membabitkan kos RM2 juta itu akan menggantikan bahagian saluran paip yang telah dirosakkan oleh kontraktor syarikat utiliti lain kira-kira dua minggu lalu.

“Bagi SPT kawasan yang terjejas ialah Taman Arowana, Seberang Jaya (Tuna, Tenggiri, Kelisa Emas, Kikik, Hospital Seberang Jaya, Jalan Carrefour, Kampung Surau, Todak, Sembilang, Jelawat), Taman Arowana Emas, Kampung Pertama, Taman Pasir Indah, Pekan Permatang Pauh, Taman Janggus, Taman Hj Md Amin dan Politeknik Seberang Perai.

“Manakala SPS pula membabitkan hampir seluruh kawasan di daerah itu akan mengalami gangguan bekalan air kecuali beberapa kawasan yang akan mengalami tekanan air rendah iaitu Bukit Panchor, Jalan Permatang Tok Mahat, Jalan Transkrian, Jalan Sungai Acheh, Sungai Bakau, Jalan Sungai Kechil, Jalan Sempadan dan Jalan Sungai Udang,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Tambah Pathmanathan, PBAPP akan menggerakkan lori tangki air dan tangki air statik ke lokasi strategik di SPT dan SPS ketika pelaksanaan SWSI ini.

“PBAPP memohon maaf atas sebarang kesulitan dan berharap pengguna di kawasan yang terlibat dapat menyimpan bekalan air secukupnya untuk kegunaan selama 24 jam.

“PBAPP akan berusaha untuk menyelesaikan semua kerja air dan kerja normalisasi bekalan air seperti yang dirancang dan dijadualkan.

“Kami juga akan kemas kini mengenai kemajuan kerja di tapak kerja menerusi Facebook rasmi PBAPP,” katanya. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here