Foto laman Facebook Universiti Utara Malaysia.

KUALA LUMPUR – Seorang abang sanggup menunggang motosikal dari Melaka demi menghantar adiknya belajar di Universiti Utara Malaysia (UUM) telah mencuri perhatian netizen di media sosial.

Perkara tersebut dikongsikan oleh laman Facebook UUM yang memaklumkan bahawa usaha dilakukan abang kepada pelajar baharu universiti terbabit wajar diberi penghargaan.

Difahamkan, Ee Tai Qing, 27 yang juga merupakan peniaga buah-buahan telah menunggang motosikal bersama adiknya, Ee Tai Zhi dari Melaka ke Sintok bagi mendaftar untuk memasuki Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) itu semalam.

Mereka yang tiba di Bangunan Canselori telah disantuni oleh Naib Canselor UUM, Prof Dr Mohd Foad Sakdan dan Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UUM, Prof Dr Ahmad Martadha Mohamed.

Tai Zhi memaklumkan yang dia akan mengikuti Program Sarjana Muda Pengurusan Hospitaliti dan berjanji untuk memberi fokus apabila kuliah bermula.

“Saya tak menduga mendapat pilihan program yang saya minati dan ingin menimba pengalaman baru di Lembah Sintok.

“Saya berjanji untuk memberi tumpuan sepenuhnya dan mengambil segala ilmu yang diajar pensyarah berpengalaman,” katanya.

Tai Zhi  merupakan salah seorang daripada 4,195 pelajar yang mendaftar di UUM Sintok pada pagi tadi dalam sesi kemasukan pelajar tahun 2024/2025. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here