KUANTAN – Ahli Parlimen boleh menghantar usul undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika Dewan Rakyat bersidang bermula 14 Oktober depan.
Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul berkata, bagaimanapun keputusan untuk menerima usul itu bergantung kepada pihaknya.
Bagaimanapun, katanya, setakat ini pihaknya belum menerima permohonan usul undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri.
”Saya tak nampak lagi pecubaan untuk menghantar usul undi tidak percaya sama ada panggilan telefon, email ataupun surat-menyurat,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas majlis Pelancaran Akademi Menara Gading 2.0 di Dewan Astaka Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Adullah (UMPSA) di Kampus Gambang, hari ini.
Pada Jumaat lepas, Anwar mencabar pembangkang untuk mengemukakan usul undi tidak percaya terhadap beliau pada Sidang Dewan Rakyat Oktober ini ketika berucap pada Himpunan Keadilan: Suara Rakyat Suara Keramat, Dari Reformasi ke Malaysia MADANI di Stadium Axiata, Bukit Jalil,
Perdana Menteri menegaskan bahawa pembangkang perlu mengikut lunas undang-undang dan tidak sewenang-wenangnya mendesaknya untuk melepaskan jawatan.
Cabaran tersebut dibuat oleh Anwar selepas beberapa perwakilan dan pimpinan PAS menuntut beliau meletakkan jawatan semasa Muktamar Tahunan ke-70 parti itu di Temerloh, baru-baru ini. – MalaysiaGazette