SHAH ALAM – Anugerah Khas YB Menteri Pendidikan Tinggi: Rekabentuk Kurikulum dan Penyampaian Inovatif 2024 (AKRI 2024) merupakan inisiatif bagi menyokong aspirasi Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dalam pendidikan fleksibel dan kurikulum tersedia pada masa hadapan.
KPT menerusi kenyataan berkata, AKRI 2024 bertujuan untuk mengenal pasti dan memberi pengiktirafan serta berkongsi amalan terbaik projek-projek termasuk inisiatif yang telah dilaksanakan dalam empat kategori.
Kesemua kategori itu iaitu Kurikulum Program Pengajian Inovatif; Pengajaran Transformatif; Pengalaman Pembelajaran Imersif iaitu pengalaman pembelajaran imersif (maya), pengalaman pembelajaran imersif (teradun) serta pengalaman pembelajaran imersif (bersemuka) dan pentaksiran alternatif.
“Semoga penganugerahan tahun ini akan menyuntik semangat, mencetus inspirasi seterusnya menjadi suri teladan terbaik kepada semua, khususnya dalam membentuk ekosistem pendidikan dan penyelidikan yang cemerlang.
“Bagi menyemarakkan semangat inovasi dalam aspek reka bentuk kurikulum dan penyampaian inovatif dalam kalangan akademia, YB Menteri (Datuk Seri Zambry Abd Kadir) menyeru supaya lebih ramai profesor terus memberikan sumbangan dalam inovasi PdP (pengajaran dan pembelajaran).
“Seharusnya profesor adalah mentor yang dapat memberikan galakan kepada para akademia muda dalam melakukan inovasi PdP,” katanya.
KPT berkata, sebelum ini permohonan AKRI 2024 telah pun dibuka mulai 13 Jun hingga 12 Julai lalu dengan sebanyak 108 permohonan diterima sepanjang tempoh tersebut.
Katanya, kesemua permohonan dan pencalonan itu dinilai oleh Jawatankuasa Pemilih AKRI 2024 yang bersidang pada 19 dan 20 Julai lalu.
Seterusnya, senarai 27 finalis yang disenarai pendek telah melalui sesi pitching pada 17 Ogos lepas.
Untuk AKRI 2024 bagi Kategori Kurikulum, Johan bagi Program Pengajian Inovatif telahpun membawa tuah kepada Universiti Taylor’s yang menjadi johan dalam kategori tersebut.
Bagi Kategori Pengajaran Transformatif, johan untuk kategori itu adalah Universiti Sultan Zainal Abidin (UNISZA) manakala, bagi Kategori Pengalaman Pembelajaran Imersif (Maya), johan bagi kategori itu adalah Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA).
Sementara itu, Johan untuk Kategori Pengalaman Pembelajaran Imersif (Teradun) pula disandang oleh Universiti Sunway manakala untuk Kategori Pengalaman Pembelajaran Imersif (Bersemuka), Johan dirangkul oleh Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTEM).
Seterusnya, bagi kategori Pentaksiran Alternatif, johan bagi kategori itu menjadi milik Universiti Malaysia Sabah (UMS). – MalaysiaGazette