Tun Dr. Mahathir Mohamad. Foto MUHD NA’IM, 20 JULAI 2023.

KUALA LUMPUR – Bekas Presiden UMNO, Tun Dr. Mahathir Mohamad terus meluahkan kekecewaannya terhadap perjuangan pemimpin dan ahli parti itu hari ini yang disifatkan sudah lari daripada perjuangan hakiki UMNO.

Menerusi catatan di laman sosial Facebook beliau semalam, Dr. Mahathir yang juga bekas Perdana Menteri berkata, perjuangan pemimpin dan ahli UMNO hari ini adalah untuk mendapat ganjaran.

Beliau mendakwa, pemimpin UMNO hari ini tidak lagi kisah sekiranya tanah pusaka Melayu tidak lagi dimiliki orang Melayu, asalkan mereka menerima RM30,800 sebulan sebagai Ahli Dewan.

“Yang penting hanyalah duit. Jika perlu sokong dasar yang bertentangan perjuangan UMNO, jika perlu sokong musuh, sokonglah.

“Inilah UMNO sekarang. Nama sahaja UMNO. Tetapi perjuangan bukan untuk bangsa, negara dan agama.

“Kalau perlu khianati bangsa tidak mengapa asalkan dapat duit,” katanya.

Tambah Dr. Mahathir yang pernah memimpin UMNO selama 22 tahun, ketika ini, seramai 43 pemimpin yang tidak sanggup mengkhianati UMNO sudah meninggalkan parti itu.

Katanya, jika dahulu UMNO boleh menang antara 80 hingga 90 kerusi, namun pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15), UMNO hanya menang 26 kerusi.

“Apa perjuangan 26 wakil rakyat ini? Tanyalah diri sendiri,” katanya.

Terdahulu, menerusi catatan sama, Dr. Mahathir turut mengimbau sejarah penubuhan UMNO iaitu sebagai jentera untuk melawan cadangan Malayan Union British menghapuskan Tanah Melayu sebagai tanah yang dimiliki oleh orang Melayu.

Katanya, British akan terima sesiapa sahaja sebagai warganegara seperti keadaan di Singapura dan Pulau Pinang, dengan itu Malayan Union tidak lagi menjadi negara orang Melayu.

Namun, tambah beliau, kerana ingin kekal pemilikan Tanah Melayu, orang Melayu bersatu di dalam UMNO, dan parti itu melawan British sehingga Malayan Union tergugur.

“Tidak terlintas di hati ahli dan pemimpin UMNO waktu itu untuk “cari makan” dengan menyertai UMNO.

“Mereka berjuang untuk bangsa, Negara dan agama. Untuk tujuan ini mereka sanggup korban apa sahaja.

“Apabila Malayan Union diganti dengan Persekutuan Tanah Melayu mereka tuntut kemerdekaan. Pada bulan Ogos 1957 merdekalah Malaya,” katanya. – MalaysiaGazette

 

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast