Datuk Abdul Halim Suleiman

KUALA LUMPUR – Seorang pemimpin UMNO Johor menyelar sikap Ahli Jawatankuasa DAP Negeri Johor, Dr. Boo Cheng Hau yang disifatkannya cuba mencari makan dengan menggunakan isu rasis.

Senator Datuk Halim Suleiman mendakwa, Cheng Hau cuba menjadi hero yang baru keluar berlatih intensif dari tokong Shaolin Kungfu setelah mengeluarkan kenyataan dangkal mengenai kemenangan calon UMNO dari Barisan Nasional, Syed Hussein Syed Abdullah pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota, Sabtu lalu.

Katanya, dakwaan Cheng Hau bahawa UMNO yang sakit dan kemenangan Syed Hussein pada PRK berkenaan hanyalah kerana undi penyokong Pakatan Harapan (PH) dilihat sebagai cubaan terdesak untuk beliau mencari nama semula selepas ‘ditenggelamkan’ daripada radar politik Johor, apabila DAP memilih untuk tidak mencalonkannya pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor pada 2022.

“Ya, hero pentas opera veteran yang satu ini nampaknya telah lama hilang dalam arena dan kini sedang berusaha keras untuk kembali ke pentas utama.

“Lagi satu saya dengar Dr. Boo (Cheng Hau) yang dah expired (tamat tempoh) ini tengah berkira-kira nak bertanding semula dalam CCC (pemilihan) DAP sebab itulah dia sibuk melobi.

“Jadi, pesan saya dekat Dr. Boo, tak payahlah jadi langau dalam politik harmoni Johor dengan nak jadi pelakon opera yang dah tak laku. Baik duduk diam-diam saja. Saya tak nak ulas panjang-panjang lagi pasal PRK DUN Mahkota atau DAP sebab saya nak jaga keharmonian dengan pemimpin lain dalam parti itu yang lebih relevan.

“Setakat Dr. Boo yang dah lama habis tarikh luput ni, baik dibuang jauh-jauh sebab dah tak valid dalam arus perdana politik hari ini,” katanya menerusi hantaran di Facebook beliau, hari ini.

Terdahulu, media melaporkan, Cheng Hau dipetik menggesa Timbalan Pengerusi UMNO, Datuk Nur Jazlan Mohamed menarik desakannya agar PH memohon maaf kepada BN-UMNO selepas kemenangan besar pada PRK berkenaan baru-baru ini.

Dalam kenyataannya, Cheng Hau berkata, BN-UMNO sebenarnya harus berterima kasih secara terbuka kepada PH dan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana telah memulihkan ekonomi yang ‘uzur’ selain turut sama ‘menyelamatkan’ nyawa BN.

Mengulas lanjut, Halim yang juga Ketua UMNO Bahagian Tebrau berkata, sejak berpuluh tahun lalu negara ini dibina dengan makmur dan stabil atas landasan keharmonian kaum dan hari ini perpaduan murni antara parti politik yang membentuk Kerajaan Madani telah berjaya untuk terus mengekalkan kestabilan itu.

“Jadi, sikap rasis dan amalan budaya politik sempit serta lapuk yang terus diamalkan oleh Dr. Boo sudah tak relevan mahupun layak untuk dibawa dalam Kerajaan Perpaduan hari ini.

“Ini kerana pemulihan ekonomi dan kestabilan politik yang dibina bersama dengan kerjasama BN-PH tak boleh diperjudikan hanya semata-mata kerana seorang individu yang cuba ‘cari makan’ dengan cara melagakan pemimpin-pemimpin parti dalam Kerajaan Perpaduan.

“Apatah lagi dengan barisan kepimpinan baru DAP hari ini yang lebih terbuka, diplomasi dan menghormati rakan-rakan dalam Kerajaan Perpaduan, amat jauh berbeza dengan cara politik lama Dr. Boo serta rakan seangkatan dengannya,” ujarnya. – MalaysiaGzette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast