FAM dan Warner Music Malaysia jalin kerjasama mencipta lagu rasmi Harimau Malaya dalam majlis di Bandar Utama, Petaling Jaya pada Rabu 2 Oktober 2024.

PETALING JAYA – Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) hari ini menjalin kerjasama dengan syarikat muzik, Warner Music Malaysia (WMM) untuk menghasilkan lagu rasmi pasukan bola sepak kebangsaan.

Kerjasama itu dijangka mencetuskan revolusi hasil gandingan sukan dan muzik yang bakal menzahirkan lagu rasmi skuad Harimau Malaya yang kekal sepanjang zaman dan menyatukan rakyat Malaysia.

Timbalan Presiden FAM, Datuk Mohd Yusoff Mahadi berkata, WMM tampil dengan idea untuk menyumbang kepada sukan bola sepak negara menerusi cadangan mencipta lagu rasmi Harimau Malaya.

“Jadi kami melihat kesungguhan mereka dalam projek ini dan menerima idea berkenaan dan menjalin kerjasama ini.

Datuk Noor Azman (dua dari kiri) dan Raqeem Brian (dua dari kanan) menandatangani kerjasama FAM dan WMM dalam majlis di Bandar Utama, Petaling Jaya pada Rabu 2 Oktober 2024.

“FAM sudah ada pendirian serius bahawa kita mahu Harimau Malaya mempunyai satu anthem kebangsaan yang kekal sepanjang zaman berkumandang di mana jua di dunia ini selain menyatukan para penyokong Malaysia merentasi usia dan jantina serta mengukuhkan perpaduan rakyat sepertimana lagu-lagu popular bola sepak ‘Go,Go, Go Ale..Ale..Ale; Ola Bola dan sebagainya,” katanya.

Beliau menyatakan demikian pada majlis menandatangani perjanjian kerjasama antara FAM dan WMM, di sini, hari ini.

Pada majlis itu yang disaksikan Mohd Yusoff dan Pengarah Urusan WMM, Dinesh Ratnam itu, FAM diwakili Setiausaha Agungnya, Datuk Noor Azman Rahman manakala syarikat muzik tersebut diwakili Pengarahnya, Raqeem Brian.

Menurut Mohd Yusoff, jenama Harimau Malaya semakin menyerlah di arena tempatan dan antarabangsa sejak beberapa tahun kebelakangan ini hasil kerjasama dengan rakan-rakan strategik.

Tambah beliau, kehadiran rakan penaja baharu, WMM diyakini bakal menghidupkan lagi semangat skuad Harimau Malaya dan penyokongnya.

Sementara itu, Dinesh berkata, penghasilan lagu rasmi skuad Harimau Malaya akan mengambil masa kerana ia memerlukan perancangan teliti bagi memastikan hasil yang berkualiti.

“Kita ada visi dan sudah boleh membayangkan artis-artis mana yang sesuai,” ujarnya.-MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here