Abbas Azmi

KUALA LUMPUR – Cadangan Menteri Besar Selangor untuk menubuhkan pasukan khas bagi membantu kanak-kanak yang diselamatkan daripada premis jagaan Global Ikhwan Service and Business Holding (GISBH) dapat membantu mereka kembali kepada masyarakat.

Malah, kanak-kanak berkenaan dapat menjalani kehidupan seperti orang lain tanpa merasa tersisih atau menyisihkan diri, kata Pengarah Komunikasi Parti Amanah Selangor (Amanah), Abbas Azmi.

Langkah itu juga merupakan satu usaha memperkukukah aset negeri Selangor memandangkan kanak-kanak terbabit merupakan rakyat di itu yang dapat menyumbang sesuatu yang baik buat Selangor dan Malaysia kelak.

“Justeru itu, Amanah Selangor menyokong penuh langkah tersebut dan bersedia untuk turut berperanan sama dalam pasukan ini bagi memastikan kanak-kanak terlibat berjaya dipulihkan supaya mereka mampu meneruskan kehidupan seperti masyarakat lain, seterusnya menjadi aset yang bermanfaat buat Selangor dan Malaysia,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Abbas lagi,  GISBH didakwa telah mengekploitasi kanak-kanak dan golongan wanita yang jelas bukan sahaja merosakkan masa depan mereka malah, mampu merencatkan perkembangan struktur masyarakat di Malaysia.

Oleh itu, langkah yang diambil oleh Menteri Besar Selangor itu amat baik bagi memastikan masa depan kanak-kanak tersebut dipulihkan semula.

Kelmarin, media melaporkan, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari dipetik berkata, Selangor berhasrat menubuhkan pasukan khas bagi membantu kanak-kanak terbabit.

Katanya, agensi agama Islam dan kebajikan masyarakat akan membimbing kanak-kanak terlibat yang ditempatkan di pusat perlindungan sementara di seluruh negeri.

Jelas beliau, kerajaan negeri  akan menubuhkan unit bertindak merangkumi dua jabatan besar iaitu Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) demi menangani, mengawal serta membantu memulihkan anak-anak berkenaan. – MalaysiaGazette