Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Cadangan menarik balik  subsidi pendidikan kepada anak golongan kaya di institusi pendidikan tinggi awam disifatkan langkah tepat dengan konsep keadilan sosial dan tanggungjawab moral yang diperjuangkan oleh Kerajaan Madani.

Naib Presiden Siswa Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), Muhammad Danial Alimin berkata, subsidi pendidikan tinggi yang diberikan secara menyeluruh selama ini perlu disasarkan dengan lebih baik supaya anak-anak golongan B40 dan sebahagian M40 dapat menikmati manfaat lebih adil.

Jelasnya, peruntukan subsidi yang dijimatkan daripada dasar itu kelak boleh diagihkan dengan lebih fokus kepada pelajar yang benar-benar memerlukan, terutama dalam kalangan mahasiswa keluarga B40.

Naib Presiden GPMS, Muhammad Danial Alimin.

Tambah beliau, ia juga dapat memperluas akses pendidikan tinggi kepada golongan berpendapatan rendah yang sering menghadapi cabaran kewangan dalam meneruskan pengajian mereka.

“Pengagihan semula subsidi ini juga boleh digunakan untuk meningkatkan kemudahan pembelajaran, biasiswa dan bantuan kewangan kepada mahasiswa yang layak.

“Dengan cara ini, mahasiswa B40 akan lebih berpeluang untuk menamatkan pengajian tanpa beban kewangan yang berat, seterusnya meningkatkan mobiliti sosial dan kualiti hidup mereka,” katanya menerusi kenyataan di sini hari ini.

Kelmarin, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim membayangkan subsidi pendidikan anak golongan kaya di sekolah awam terbaik kerajaan akan dihentikan, kerana tindakan berterusan itu sebagai tindakan tidak adil, yang mana dana berkenaan sepatutnya boleh diagih kepada golongan miskin.

Sementara itu, Muhammad Danial menambah, dasar tersebut juga dapat mengurangkan ketidakseimbangan dalam penggunaan dana awam, sekali gus memberi ruang kepada kerajaan menyusun semula perbelanjaan pendidikan dengan lebih efisien dan menyasarkan sumber kepada golongan yang paling memerlukan.

Katanya, golongan kaya yang mempunyai kemampuan kewangan lebih tinggi tidak lagi bergantung kepada subsidi yang seharusnya diutamakan kepada mereka yang berpendapatan rendah.

Ujar beliau, prinsip itu juga akan mendidik masyarakat tentang tanggungjawab sosial dan kepentingan memberi laluan kepada golongan rentan dalam mendapatkan hak pendidikan.

“Tanggungjawab moral dan sosial golongan berada ini perlu difahami dengan mendalam dan kami percaya prinsip ini akan membina masyarakat yang lebih adil dan harmoni.

“GPMS berharap inisiatif-inisiatif ini akan membantu memperkukuh sistem pendidikan negara dan memastikan setiap golongan mendapat peluang pendidikan yang adil dan setara,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast